KOTA KINABALU: Persatuan Usahawan Wanita Industri Kecil Sederhana (IKS) Kota Belud, telah membuat kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Joachim Gunsalam di Wisma Kewangan, di sini, kelmarin.
Kunjungan hormat tersebut adalah untuk memaklumkan tentang program persatuan di peringkat Daerah Kota Belud.
Pengerusi persatuan, Natalia Hassan berkata, adalah menjadi aspirasi usahawan wanita industri kecil sederhana ingin melahirkan lebih ramai usahawan wanita Kota Belud yang memiliki perniagaan buatan tempatan yang mampu memacu ekonomi perindustrian di daerah Kota Belud dan Sabah khususnya menjelang tahun 2025.
Sehubungan itu, persatuan ini memerlukan sokongan Kerajaan bagi menjayakan program yang akan dilaksanakan oleh persatuan ini.
Sementara itu, Dr. Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian berkata, pihaknya akan mempertimbangkan cadangan dan permohonan persatuan dan meminta Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) di bawah Kementerian untuk meneliti permohonan tersebut.
Kunjungan hormat berkenaan turut dihadiri Ketua Penerangan Persatuan Penggerak Multimedia Negeri Sabah, Muhd. Adnan Sorek serta beberapa ahli jawatankuasa (AJK) persatuan.