ESSCOM buru 20 Individu Dikehendaki Disyaki Ada Hubungan Kumpulan Abu Sayyaf

LAHAD DATU: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) memburu 20 individu dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung beberapa kes jenayah rentas sempadan dan penculikan untuk wang tebusan di Pantai Timur Sabah.

Komander ESSCOM DCP Hamzah Ahmad berkata tiga daripada lima individu baharu yang telah dimasukkan dalam senarai terkini itu ialah Ahadin Hussein, Ellam Sajirin @ Nasirin, Ismurah Jirah.

Katanya ketiga-tiga individu berkenaan disyaki berperanan sebagai keepers dan terlibat dalam kes penculikan di perairan Tambisan.

Individu keempat Madjid Said @ Ammah Pattit pula merupakan ketua paling senior Daulah Islamiah (DI) berpangkalan di Sulu dan berperanan sebagai komander ASG Sulu serta sub leader yang bakal menggantikan Hatib Hajan Sawadjaan.

Individu kelima ialah Mudzrimar @ Mundi Sawadjaan yang merupakan anak saudara kepada Hatib Hajan Sawadjaan dan sub leader dalam ASG, katanya.

Hamzah berkata Mudzrimar mempunyai kepakaran membuat bom serta perancang letupan bagi insiden di ‘The Our Lady Of Mount Carmel Cathedral Jolo’ pada 27 Januari 2020 dan insiden lain di Jolo pada 24 Ogos 2020.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Hamzah berkata individu yang masih kekal dalam senarai Wanted List itu ialah Salip Mura, Al Munjir Yadah, Ben Tatoh Quirino, Basaron Arok, Mujimar Sawadjaan @ Rasad, Marajan @ Manajan Asiri, Jul Aksan Abdurajan @ Halimaw, Jul @ Jun Hasan, Barak Undog @ Alvin, Hamsan Pakkan @ Black Cobra, Sabri Madrasul @ Salip Jul, Hadji Wahad @ Talip, Tampi @ Bunju, Haibin Mubin @ Apo Kuhambo Dan Sangbas Parisko.

Menurutnya lima individu dikehendaki dalam senarai Wanted List Jun 2021 iaitu Apo Mike @ Majan Sahidjuan, Raden Abuh, Long Sahirin, Japs Sawadjaan @ Musafar Sawadjaan dan Halipa telah ditembak mati dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Filipina di selatan negara itu.

Sehubungan itu, Hamzah berkata ESSCOM akan memperhebatkan operasi-khas untuk menjejak anasir-anasir terbabit dan melancar operasi bersepadu laut dan darat bagi membenteras elemen- elemen tidak diingini di ESSZONE.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai senarai individu dikehendaki itu supaya menghubungi Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863 181 atau salurkan maklumat melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles