KOTA KINABALU: Jumlah kes Covid-19 di Sabah menunjukan trend penstabilan yang baik dengan hanya merekodkan 118 kes baharu hari ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata jumlah itu merupakan penurunan sebanyak 54 kes berbanding jumlah catatan pada Ahad.
“Hari ini hanya lima daerah mencatatkan kes baharu dua angka yang didahului oleh Kota Kinabalu dengan 17 kes (-14), diikuti oleh Papar dengan 15 kes (-6), Tuaran 15 (+4), Penampang 13 (-4) dan Sandakan 12 (-5).
“Ranau yang mencatatkan jumlah kedua tertinggi kelmarin dengan 21 kes cuma merekodkan 2 kes baharu hari ini,” katanya dalam hantaran terbaharu di media sosial.
Masidi berkata Beaufort cuma mencatatkan 8 kes baharu (-11).
Katanya enam daerah tidak mencatat sebarang kes baharu.
“Seperti yang telah nyatakan sebelum ini, turun-naik jumlah kes harian di Sabah banyak dipengaruhi oleh kemunculan kluster-kluster baharu dari masa ke masa.
“Sikap masyarakat yang bertanggungjawab seperti pematuhan kepada semua SOP juga faktor penting dalam usaha mengekalkan jumlah kes baharu Covid pada tahap yang rendah di Sabah,” katanya.
Masidi berkata rakyat berperanan sebagai petugas ‘barisan hadapan’ dalam usaha negeri ini membanteras penularan virus Covid-19.