Ronald Tinjau Operasi Loji Pemprosesan Sarang Burung Walet Beho Birdnest

KUALA LUMPUR:Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee telah meninjau operasi di loji pemprosesan Sarang Burung Walet (SBW) Beho Birdnest Sdn Bhd pada Khamis.
Beho Birdnest merupakan antara pengusaha SBW yang bergiat aktif di Malaysia dan loji ini adalah antara yang berdaftar dengan pihak General Administration of Customs of People’s Republic of China (GACC) yang telah diberi kelulusan untuk mengeksport sarang burung walet bersih (EBN-RC) dan sarang burung walet belum bersih (EBN- RUC) ke negara tersebut.
Permintaan yang sangat tinggi dan khasiat dari sarang burung ini membuatkan nilai pasarannya yang tinggi. Jumlah eksport industri ini pada tahun 2020 adalah sebanyak 5,654 Tan Metrik bernilai RM1.2 billion. Eksport komoditi ini juga kekal kukuh di kala negara masih mengharungi penularan pandemik COVID-19.
Menurut Dr Ronald, sehingga tahun 2021, terdapat 16,731 premis rumah burung wallet dan lima (5) gua pengeluar SBW yang telah berdaftar iaitu Gua Gomantong dan Gua Madai di Sabah, Gua Silabur dan Gua Niah di Sarawak serta Gua di Pulau Dangli, Langkawi, Kedah.
“Hasil pengeluaran SBW daripada gua adalah sebanyak 40-60 Tan Metrik setahun. Potensi SBW gua adalah tinggi kerana harga sarang burung walet mentah gua belum bersih (EBN-RUC) adalah sekitar RM8,000/kg.
“SBW gua merupakan satu produk premium hasilan Negara yang masih belum diteroka pasaran eksportnya ke Negara China yang merupakan Negara pengguna SBW gua terbesar di dunia dengan permintaan sebanyak 80 Tan Metrik setahun. Ketika ini, SBW gua mentah belum bersih hanya dieksport ke Hong Kong, Taiwan dan Vietnam,” kata Dr Ronald.
Jelas beliau, kepentingan untuk memasarkan SBW gua secara terus ke China adalah bagi memastikan produk hasilan Negara ini dapat dipasarkan di pasaran utama dengan nilai sebenar yang boleh mencecah sehingga RM20,000/kg di China sekiranya ia dipasarkan dengan tahap kualiti yang dipastikan selamat dimakan serta mempunyai daya jejak.

Advertisements

MAFI melalui DVS sebelum ini juga berkata mewujudkan Program Sistem Pendaftaran Premis Walet yang dikenali sebagai METS (Malaysia EBN Traceability System) bagi mengukuhkan sistem daya jejak bagi mencapai piawaian global yang turut menjadi salah satu syarat pengeksportan SBW Malaysia ke China.
MAFI akan terus menggiatkan usaha ini yang akan turut meningkatkan potensi eksport SBW gua ke China dalam masa terdekat.
Negara pengimport utama SBW selain SBW gua dari Malaysia adalah China yang mengimport 80% daripada jumlah keseluruhan eksport SBW Malaysia. Sehingga tahun 2021, sebanyak 41 loji SBW di Malaysia telah diluluskan oleh GACC iaitu 38 loji EBN-RC dan 3 loji EBN-RUC.
Bagi memenuhi protokol eksport SBW ke China, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah mengakreditasi dan memberi pentauliahan persijilan Veterinary Health Mark (VHM) kepada 30 loji pemprosesan dan persijilan Good Veterinary Hygiene Practice (GVHP) kepada 44 loji pemprosesan.
MAFI melalui DVS juga mengambil pelbagai langkah untuk terus meningkatkan pengeluaran Edible Bird Nest (EBN) melibatkan aktiviti dalam semua rantaian nilai dalam industri EBN iaitu pengeluaran, pengumpulan, pemprosesan dan pemasaran.
DVS sentiasa memantau industri ini bagi mengelakkan penyalahgunaan sumber produk tiruan dan mengamalkan urus tadbir industri yang diiktiraf oleh negara pengimport.
MAFI akan terus menggalakkan pengeksportan produk-produk SBW ke Iuar negara bagi meningkatkan nilai eksport produk dan daya saing industri ini secara keseluruhannya.
Dalam lawatan yang sama, YB Menteri MAFI juga telah melancarkan produk SBW gua yang dikeluarkan oleh Syarikat Beho Birdnest.
Turut hadir dalam lawatan ini, YBhg. Dato’ Haslina Abdul Hamid, Ketua Setiausaha, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan YBrs. Dr. Suratan bin Kamarudin, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

Related Articles

253FansLike

Latest Articles