Disiplin Tinggi Kunci Kejayaan – Jahid

TUARAN: Kunci kejayaan seseorang terletak kepada sikap yakin pada diri sendiri, dan disiplin yang tinggi.

Advertisements

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, kejayaan seseorang bukan hanya bergantung kepada kebijaksanaan yang dimiliki semata-mata, tetapi nilai dan sikap positif yang mampu mengubah mereka sehingga berjaya.

“Orang yang mempunyai tabiat yang positif merupakan orang yang semakin dekat dengan kejayaan kerana meletakkan diri mereka dalam persekitaran yang berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada sekumpulan 13 orang pelajar ketika membuat lawatan ke KKIP Aerospace Training Centre (KATC), dekat sini pada Khamis.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KATC, Aminuddin Zakaria dan Pengurus KATC, Jennifer Balanting.

Katanya, tiada yang mustahil sekiranya seseorang mengamalkan disiplin baik di samping mempunyai keyakinan diri yang tinggi untuk berjaya.

“Saya yakin anda semua akan berjaya menghabiskan pengajian anda di sini jika anda menanamkan nilai-nilai positif dalam diri,” katanya.

Menurut Jahid, anak-anak muda terutamanya lepasan sekolah perlu mengambil peluang keemasan untuk menimba kemahiran di pusat kemahiran tersebut.

Terdahulu, Aminuddin berkata, pusat latihan itu merupakan sebuah anak syarikat milik penuh KKIP Sdn Bhd, di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Perindustrian Negeri Sabah.

“Di samping kerjasama teknikal bersama Mega Aerospace Centre Sdn Bhd, KATC juga dibina bagi menyokong aspirasi Negeri Sabah untuk menjadi salah satu Hab Perindustrian Aeroangkasa pada masa hadapan untuk Asia Tenggara,” katanya.

Pusat latihan itu kini dibuka untuk pendaftaran program sepenuh masa Kategori A1 Airplanes Turbine yang terdiri daripada 12 Modul yang perlu disiapkan dan On Job Training di Bahagian 145 yang diluluskan (Organisasi Penyelenggaraan Pesawat).

Manakala selepas tamat latihan asas Kategori A1, para graduan juga berpeluang untuk mengikuti kursus juruteknik lesen dengan tambahan hari latihan sambil bekerja (seperti yang diminta oleh pihak berkuasa penerbangan).

Menurut Aminuddin, program ini menawarkan latihan teori dalaman dalam bilik darjah terkini, yang menyediakan pengalaman pembelajaran yang kondusif kepada pelajar dan akses ke bilik komputer, bahan pembelajaran dari perpustakaan untuk pengalaman pembelajaran yang menyeluruh, dan pelajar akan mempunyai akses ke bengkel bagi mendapatkan pengalaman praktikal.

Pusat latihan tersebut kini memiliki kampus dengan asrama yang mampu untuk menampung sehingga 240 orang pelajar.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles