Pejabat Daerah Perlu Proaktif Rancang, Laksanakan Projek Pembangunan – Bung

Oleh: Jaafar Abdul Wahid

Advertisements

TONGOD : Pegawai daerah di seluruh Sabah perlu lebih proaktif dalam merancang dan melaksanakan pembangunan di daerah masing-masing bagi mempastikan pembangunan yang lebih mampan dapat dilaksanakan untuk kepentingan rakyat.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, penjawat awam di peringkat daerah perlu mengubah cara bekerja agar dapat memberi perkhidmatan terbaik dan efisyen kepada rakyat, terutama di luar bandar.

“Semuanya ini boleh dilaksanakan jika kita semua ada kemahuan, komitmen dan perancangan.

“Saya mahu pastikan Sabah terkeluar daripada (belenggu) kemiskinan. Saya tidak percaya Sabah tidak boleh lari daripada dilabel sebagai negeri termiskin,” katanya selepas mendengar taklimat pembangunan Daerah Tongod oleh pegawai daerah Mohd Fauzi Norbeh di bilik mesyuarat Pejabat Daerah Tongod di sini.

Hadir sama Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Arifin, Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Limus Jury,Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Datuk Mohd Jasmin Juplin, Pengarah Kerja Raya Datuk Ir Ali Ahmad Hamid dan Pengarah Jabatan Air Edward Lingkapo.

Bung Moktar, yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, berkata penjawat awam sebagai wakil kerajaan di daerah perlu pantas dan mengelakkan pelaksanaan pembangunan tertangguh yang boleh mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.

“Rakyat datang dari jauh (untuk berurusan di pejabat kerajaan), tambangnya RM20-30. Hari ini tidak selesai, kita suruh datang esok. Esok pun tidak selesai.

“Rakyat tidak boleh tunggu. Dia akan marah kerajaan, dia marah wakil rakyat, macam-macam dia marah. Tetapi memang patut pun sebab pendapatan dia berapa saja, justeru karenah birokrasi dalam sistem penyampaian kita perlu diubah dalam usaha mempermudahkan urusan rakyat ” katanya.

Menurut Bung perubahan sistem penyampaian yang lebih cekap dan efisin mampu memacu sesebuah daerah ke arah yang lebih baik selain keluar dari kepompong kemiskinan ini termasuklah daerah Tongod yang diletakkan sebagai daerah yang termiskin .

” Kita perlu memudahkan sistem penyampaian kita sekali gus kita dapat membangunkan bukan sahaja 37 daerah di Sabah tetapi juga negeri tercinta ini,” katanya

Dalam pada itu Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan meminta pegawai daerah mengemukakan permohonan untuk meneruskan projek pembinaan kompleks sukan di Tongod, yang tergendala sejak 2018.

Katanya, projek itu, yang sepatutnya dibangunkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, perlu diteruskan sebagai memenuhi janji kerajaan dahulu kepada rakyat.
Selain itu, beliau juga meminta pegawai berkenaan untuk merancang projek menaiktaraf pejabat urusetia daerah Tongod dan mengemukakan permohonan untuk membina pasar awam dan dewan masyarakat di daerah itu.

“Saya cukup yakin kita akan dapat peruntukan ini dan akan membantu untuk membangunkan daerah Tongod,” katanya.

Selepas mendengar taklimat pembangunan tersebut Bung turut mengambil peluang mengadakan perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin masyarakat tempatan selain melawat projek bekalan air luar bandar di Loji Air Lanong Tongod dan jalan runtuh di Batu 25 Sandakan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles