Perutusan Tahun Baharu Presiden Upko dan Ahli Parlimen Tuaran DSP Wilfred Madius Tangau
KOTA KINABALU: Satu lagi siri 12 bulan telah berlalu dengan pantas. Hari ini kita berada pada hari terakhir tahun 2021 dan dalam beberapa jam kita akan melangkah ke Tahun Baharu.
Mewakili Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2022 kepada seluruh rakyat Malaysia.
Dunia dan negara kita masih dalam gelombang pandemik COVID-19. Sementara kita mengharapkan noktah agar pandemik ini akan berakhir dengan segera, lebih 31,000 orang rakyat Malaysia telah telah terkorban dan lebih 2.7 juta rakyat telah menjadi mangsa pandemik ini. Sementara kita baharu mula bangkit daripada impak COVID-19 selepas sekatan total atau ‘total lockdown’ lebih empat bulan, penghujung tahun 2021 pula telah membawa tragedi berkembar, dengan tujuh buah negeri di Semenanjung dilanda paling buruk, yang turut mengorbankan hampir 50 orang.
UPKO berkongsi kesedihan dan simpati dengan dua tragedi berturut-turut ini, dan mengucapkan takziah kepada mereka yang telah kehilangan orang tersayang mereka.
Ketika negara dikatakan semakin menuju ke arah status negara maju, kemunculan dua tragedi ini, yang telah meragut ribuan nyawa merupakan sesuatu yang menyedihkan dan memilukan. Kehilangan ribuan nyawa dalam sekelip mata satu situasi menyayat hati dan tidak dapat diterima sama sekali.
Dalam perutusan Tahun Baharu 2021, saya telah menekankan harapan UPKO agar kesemua parti politik mengutamakan gencatan politik bagi boleh membolehkan setiap daripada kita merasai, menikmati dan menghayati kestabilan, dan pada masa yang sama keyakinan rakyat dapat dipulihkan. Rakyat telah penat dengan polemik dan krisis politik yang tiada
kesudahan. Bagi mencapai hasrat itu, saya telah menekankan keperluan politik profesional, yang pada pandangan saya dapat memulihkan kestabilan dan keyakinan rakyat.
Malangnya, kita terus berhadapan dengan polemik mengenai defisit kestabilan holistik yang kita dahagakan. Sentimen ini disusuli dengan perubahan Kerajaan Persekutuan pada bulan Ogos 2021, kali ketiga dalam tiga tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
UPKO berpendirian tegas dan ingin mengulangi bahawa kesemua parti politik perlu menggandakan usaha melahirkan politik profesional, yang mengutamakan kepentingan rakyat, di kedua-dua peringkat negeri dan persekutuan.
Pandemik, krisis politik yang berterusan dan bajir buruk dengan sendiri menunjukkan bahawa negara memerlukan strategi pentadbiran dan pengurusan yang konstruktif bagi mengembalikan kegemilangan, dan pada masa yang sama memperkasa keyakinan dan kepercayaan para pemegang taruh. *Hanya pendekatan politik profesional yang mampu membawa kita ke arah itu. Kepimpinan politik profesiomal sahaja merupakan jawapan kepada segala krisis yang negara alami sekarang.*
Krisis demi krisis menunjukkan kita masih berhadapan dengan kelemahan dan kekurangan dalam pelbagai segi, sektor dan peringkat pengurusan negara yang seharusnya bersifat konstruktif dan membina, sekali gus memberi satu keyakinan yang baharu lagi kental dalam diri setiap rakyat.
Rakyat memberikan mandat dengan memilih wakil rakyat dan kerajaan dengan harapan negara akan terus berada dalam kedudukan yang lebih baik dari setahun ke setahun bagi mewujudkan persekitaran yang cukup meyakinkan. Malangnya, negara terus menyaksikan defisit keyakinan dan kepercayaan terhadap kerajaan, wakil rakyat dan Parlimen.
UPKO berharap kerajaan akan lebih terbuka untuk membawa kesemua Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri agar akan ada politik profesional dalam mentadbir negara dan menjamin kesejahteraan rakyat. Kita masih dipimpin oleh undang-undang dan peraturan yang tidak dinamik dengan keperluan rakyat dan semasa. Kegagalan Parlimen membincangkan isu bencana banjir dengan serta-merta pada 18 Disember 2021 lalu merupakan satu bukti, yang menunjukkan kita masih tertikat dengan undang-undang yang tidak dapat digerakkan demi rakyat, dan kita gagal mengetepikan perbezaan politik demi kesejahteraan rakyat, khususnya mangsa banjir. Kita lambat bertindak demi rakyat atas alasan birokrasi pentadbiran dan dikawal oleh perbedaan politik.
Apakah kita mampu mengubah situasi menyedihkan ini. *UPKO berharap tahun 2022 akan membawa kita ke arah politik profesional.* Pembaharuan dan reformasi undang-undang dan institusi negara diharap dapat dilakukan dengan segera lagi menyeluruh demi kepentingan setiap pemegang taruh. UPKO, selaku komponen Pakatan Harapan (PH), akan terus memperjuangkan kepentingan politik profesional demi rakyat dan negara. *Bagi tujuan ini, UPKO mencadangkan pewujudan platform merentasi parti dan ideologi politik diwujudkan segera.*
Dalam kesempatan ini juga saya ingin menyampaikan salam perjuangan kecemerlangan pendidikan kepada setiap pelajar Tingkatan Lima yang akan mengambil peperiksaan SPM Tahun 2021 bermula Selasa 8 Februari hingga Selasa 29 Mac 2022. Khusus kepada 1,792 orang calon-calon peperiksaan SPM daripada kawasan Parlimen Tuaran, gunakanlah apps E-Tuition yang saya, selaku Ahli Parlimen Tuaran, telah taja sepenuhnya sebagai pecutan akhir bermula 28 Desember 2021 hingga berakhirnya peperiksaan SPM tahun 2021 pada Selasa 29 Mac 2022. Mudah-mudahan penajaan ini berhasil dengan kecemerlangan peperiksaan SPM bagi PPD Tuaran bagi tahun 2021.
Saya juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana telah mempertimbangkan secara positif segala rayuan dan cadangan dari pelbagai pihak yang saya sendiri terajui di persidangan parlimen melalui siri ucapan perbahasan serta Usul dibawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan akhirnya KPM mengubah jadual peperiksaan SPM Tahun 2021 kepada hanya pada hari Isnin hingga khamis dan tiada lagi peperiksaan pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad. Saya berharap episod ini diambil oleh KPM sebagai satu pengajaran positif dalam usaha melaksanakan Falsafah Pendidikan Negara dan juga 5 Prinsip Rukun Negara. Kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan itu adalah ideologi keramat negara sebab itu laksanakanlah berdasarkan dengan penuh keinsafan bahawa penduduk negara ini adalah pelbagai kepercayaan dan agama.
Satu lagi perkara yang terkait dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ia lah pengumuman cuti sekolah penggal 1 Sesi 2022/2023 ia itu jatuh pada Jumaat 3 Jun hingga Sabtu 11 Jun. Umum mengetahui bahawa Hari Kaamatan dan cuti awam bagi Sabah ialah Sabtu 30 Mei hingga Ahad 31 Mei manakala Hari Gawai dan cuti awam bagi Sarawak ialah Rabu 1 Jun dan Khamis 2 Jun. Oleh itu selaku saya selaku Presiden dan Ahli Parlimen Tuaran mencadangkan supaya Jadual Cuti Sekolah Penggal 1 Sesi 2022/2023 diubah kepada Jumaat 29 Mei ke Selasa 9 Jun. Cadangan ini dibuat untuk membolehkan seluruh rakyat Sabah meraikan Sambutan Hari Kaamatan 2022 dan rakyat Sarawak meraikan Hari Gawai pada 1 dan 2 Jun. Persoalan yang saya senantiasa tanya di Parlimen ialah kenapakah pihak KPM tidak mengambilkira kehendak dan keperluan rakyat apabila merumuskan jadual cuti sekolah dan juga Jadual peperikasaan. Kementerian Perpaduan Negara juga membisu dan membiarkan acara-acara perpaduan diperkotak katikkan oleh pihak KPM. Dimanakah letaknya
kepemimpinan dan urus tadbir konsep Keluarga Malaysia yang di Laung-laungkan oleh Perdana Menteri?
Tahun 2021 juga bersejarah dan menjadi kegembiraan oleh seluruh rakyat majmuk Malaysia apabila Mahkamah Tinggi pada 10 Mac 2021 memutuskan bahawa rakyat bukan beragama Islam di negara ini boleh menggunakan empat kalimah, ia itu Allah, Bairullah, Kaabah dan Solat, yang diperintahkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 5 Dis 1986 sebagai kalimah terlarang penggunaannya oleh rakyat bukan beragama Islam. Namun, kegembiraan itu menjadi sedih apabila KDN memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan pada 15 Mac 2021. Saya telah menerajui gerakan mendapatkan sokongan daripada Wakil-Wakil rakyat dan senator daripada Sabah dan Sarawak merayu agar pihak kerajaan menerima keputusan Mahkamah Tinggi tersebut. Namun walaupun 55 Yang Berhormat daripada pihak kerajaan dan pembangkang menandatangani petisyen rayuan tersebut tetapi pihak KDN bertegas juga memfailkan rayuan. Sempena tahun baru 2022 ini, saya, Selaku Ahli Parlimen Tuaran, sekali lagi merayu kepada YAB Dato Seri Ismail Sabri supaya mempertimbangkan semula keputusan mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tersebut dan seterusnya menarik balik rayuan tersebut. Keharmonian kaum serta perpaduan rakyat majmuk Malaysia amat memerlukan healing pada ketika negara menghadapi pelbagai cabaran sosial, ekonomi dan politik.
Sepanjang tahun 2021, selaku Presiden UPKO dan Ahli Parlimen Tuaran, kami telah mengetengahkan banyak isu yang melibatkan rakyat Sabah dan Malaysia secara keseluruhan bagi mencapai matlamat politik profesional. Saya yakin banyak lagi boleh dilakukan dengan berkat sokongan padu setiap individu, badan-badan bukan kerajaan dan parti politik di Malaysia. UPKO mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang telah berganding, menghulurkan sokongan dan memberikan kerjasama dalam memajukan isu-isu yang dibawah UPKO sepanjang tahun 2021. Selamat Tahun Baharu 2022.