Oleh: Jaafar Abd Wahid
SANDAKAN: UMNO Bahagian Kinabatangan sebulat suara menyatakan sokongan penuh terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menerajui tampuk pemerintahan negara.
Ketua Bahagiannya, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata sokongan yang dinyatakan itu adalah bagi memberi ruang kepada Ismail Sabri untuk mentadbir serta melaksanakan agenda pemulihan pasca COVID-19 sehinggalah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Disamping itu, UMNO Bahagian Kinabatangan turut menjunjung institusi kepartian dengan menyatakan sokongan padu kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Panglima Zahid Hamidi yang mengemudi parti itu, dengan mendokong Fasal 9.8.1.1.
Selain itu, UMNO Bahagian Kinabatangan juga menyatakan kepercayaan tidak berbelah bahagi kepada pimpinan tertinggi UMNO Malaysia dalam mengurus tadbir, merencana, mencorak, dan membuat keputusan mengenai hala tuju parti selagi mana tidak melanggar Perlembagaan UMNO.
Dalam pada itu, bagi memastikan UMNO kembali memerintah secara dominan, UMNO Bahagian Kinabatangan akan memfomulasikan budaya kebersamaan dalam gerak kerja Pilihan Raya dari peringkat Pusat, Negeri, Bahagian, Pusat Daerah Mengundi (PDM) wahima di peringkat lokaliti yang secara tidak langsung merapatkan saf kepimpinan.
Dalam perkembangan berkaitan, Bung turut menggesa jentera UMNO di peringkat bahagian dan cawangan supaya meneruskan kecemerlangan bagi memperkasakan parti sekaligus mengelak daripada sebarang pergolakan.
Justeru beliau mengajak rakyat terutama di Sabah supaya bersama-sama dalam satu perjuangan untuk membina semula kegemilangan dan kemakmuran Malaysia melalui UMNO, seperti perjuangan sebelum ini.
Tambah beliau, semangat perpaduan dan kebersamaan ahli UMNO terhadap pemimpin juga penting bukan sahaja demi kesejahteraan rakyat tetapi juga menyumbang kepada kejayaan pentadbiran kerajaan yang lebih stabil.