RANAU, 15 Disember 2021: Sebanyak 202 buah rumah yang terlibat dengan projek Bekalan elektrik luar bandar (BELB)
dari empat buah kampung dalam Mukim Kawiyan Ulu Sugut kini boleh menikmati bekalan elektrik yang dinanti-nantikan selama ini.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Dr. Joachim Gunsalam, berterima kasih kepada pihak kerajaan negeri melalui Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) di atas usaha pemasangan meter yang sedang dijalankan.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian berkata, pemasangan meter elektrik ini sedang dibuat secara berperingkat-peringkat yang melibatkan Kg. Kawiyan, Kg. Manikulau, Kg. Paka, Kg. Kemongis dan Kg. Kilanas Kawiyan.
Katanya, pemasangan telah dimulakan ke atas 58 buah rumah yang bermula 13 Disember dan dijangka akan siap dipasang meter pada Februari 2022.
“Ini adalah usaha Kerajaan dalam merealisasikan Pelan Pembangunan Hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dr. Joachim juga mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh Pejabat ADUN Kundasang & Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM).
Ketika dihubungi, Pegawai SESB Ranau, Winches Maximillian Samuel memberitahu, kerja-kerja pemasangan meter elektrik telah tertangguh disebabkan beberapa perkara antaranya kerosakan pada kabel, jarak dan faktor cuaca serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Seramai 12 orang kakitangan SESB terlibat dalam pemasangan meter berkenaan.