Bekalan Ikan Mencukupi – Ronald

KUALA LUMPUP: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyambut baik usaha Persatuan Nelayan dan pemain industri di sektor perikanan dalam membekalkan sumber protein, selain senantiasa mengalu-alukan pendapat, cadangan dan buah fikiran serta sedia mendengar suara daripada Persatuan Nelayan dalam meningkatkan industri perikanan dan memperkasakan daya tahan sistem makanan negara.
Industri perikanan negara menyumbang 0.8 peratus setahun kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) melalui pengeluaran berjumlah 1.78 juta tan metrik dengan nilai RM13.84 bilion. Pengeluaran kepada industri perikanan ini disumbangkan oleh perikanan tangkapan marin sebanyak 1.38 juta tan metrik, akuakultur berjumlah 400 ribu tan metrik dan pendaratan perikanan darat sebanyak 5,625 tan metrik.
Industri perikanan menyokong seramai 119,828 nelayan laut, 20,258 penternak akuakultur dan 3,103 nelayan darat.
Kerajaan melalui MAFI sentiasa peka dan mendengar akan keperluan juga cabaran yang dihadapi oleh golongan nelayan. Justeru, pelbagai peruntukan dan inisiatif disediakan bagi membantu mereka.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, bagi tahun 2021, MAFI telah memperuntukkan lebih 150 juta ringgit bagi menyediakan bantuan dan insentif kepada masyarakat nelayan seluruh negara yang merangkumi Elaun Sara Hidup Nelayan, Insentif Hasil Tangkapan dan Tabung Bencana dan Kebajikan Nelayan.
‘MAFI juga turut memperuntukkan sebanyak 6.43 juta ringgit untuk baikpulih rumah nelayan dan pembinaan rumah baharu kepada nelayan seluruh negara di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN),’ jelas beliau.
Tambah beliau lagi Kerajaan telah memperuntukkan RM4.82 bilion kepada MAFI dalam Bajet 2022 yang diumumkan oleh YB Menteri Kewangan. Secara khususnya, MAFI akan menerima RM1.7 bilion dalam pemberian subsidi dan insentif bagi industri pertanian serta perikanan untuk tahun 2022.

Advertisements

Beliau berkata demikian dalam ucapan Perasmian Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) yang ke-36 di Kuala Lumpur.
Menurut Dr. Ronald, beliau yakin NEKMAT di bawah kepimpinan sedia ada akan terus diperkasakan menjadi sebuah institusi yang kompeten dan berdaya saing di setiap peringkat menyokong agenda sekuriti makanan negara selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
“Sektor perikanan dan akuakultur merupakan antara subsektor agromakanan yang diberikan penekanan dalam Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0). Matlamat utama subsektor ini adalah untuk meningkatkan tahap sara diri (SSL) sumber ikan dari 90% ke paras 98% dengan jumlah pengeluaran sekurang- kurangnya 2.55 juta tan metrik menjelang tahun 2030. Manakala, tahap pendapatan nelayan ditingkatkan dari 2,000 ringgit kepada 2,724 ringgit hingga 5,500 ringgit,’’jelas beliau.
Sepanjang tempoh pelaksanaan RMKe-12, sektor pertanian akan dipergiat dengan menggunakan teknologi pintar untuk meningkatkan produktiviti dan mengukuhkan tahap sekuriti makanan negara merentasi semua subsektor agromakanan. Dalam bidang perikanan tangkapan pula, koperasi dan persatuan akan digalakkan untuk menceburi aktiviti perikanan laut dalam dan laut lepas dengan menggunakan kapal moden dan peralatan inovatif untuk meningkatkan hasil dan daya saing sektor industri perikanan.
MAFI melalui Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) juga terus komited membangunkan industri tuna negara selain meningkatkan pasaran produk berasaskan tuna yang bernilai tinggi di peringkat domestik dan antarabangsa selaras dengan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna 2021– 2030 dan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi 2021 – 2030.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles