PKR Sabah Bergolak? Presiden Disaran Tamatkan Kemelut

KOTA KINABALU: Angkatan Muda Keadilan, Wanita Keadilan, Srikandi Keadilan dan Skuad Keadilan negeri Sabah maklum akan krisis kepimpinan yang melanda Parti Keadilan Rakyat negeri Sabah. Perkara ini bukan baharu namun ia telah berlanjutan sejak 2017.

Advertisements

Kami juga maklum bahawa wujudnya Akuan Bersumpah (SD) untuk menggugurkan YB Datuk Christina Liew yang telah ditanda tangani 17 Ketua Cabang dan Ketua-Ketua sayap negeri.

Bagi memperkukuhkan jentera Keadilan Sabah, kami perlukan kepimpinan yang mendapat sokongan majoriti dan kukuh agar pemimpin berkenaan mampu membawa parti ke peringkat lebih tinggi dan bukan sekadar menjadikan parti sebagai ‘penumpang’ di atas bahtera parti lain.

Oleh itu sebelum perkara ini menjadi lebih teruk, kami menggesa Presiden Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelesaikan kemelut yang melanda dengan bertemu dengan setiap Ketua-ketua Cabang serta setiap Ketua-ketua sayap Keadilan Sabah.

Kami berharap Presiden dapat menggunakan kebijaksanaan dan budi bicara sebagai pemimpin nombor satu parti untuk melunaskan kehendak akar umbi agar parti di peringkat negeri Sabah dapat memperkukuhkan semula kepimpinan sebelum menghadapi Pilihanraya Umum yang dijangka berlangsung tahun hadapan.

Kami juga maklum kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan Keadilan Sabah, Chrisnadia Sinam yang dilihat tidak menjernihkan keadaan sebaliknya hanya menujukkan ego pimpinan. Kenyataan itu juga dilihat mempersenda anak muda seolah anak muda hanya perlu tertumpu kepada satu isu.

Parti Keadilan Rakyat amat dikenali sebagai sebuah parti yang mempunyai pimpinan muda yang lantang serta berani memperjuangkan isu-isu rakyat dan tidak hanya terikat kepada isu anak muda. Selain isu anak muda, AMK Sabah lantang memperjuangkan isu rakyat, menyentuh soal kos sara hidup, ketirisan kerajaan, isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), masalah infrastruktur serta banyak lagi isu lain.

Kenyataan Chrisnadia dilihat tidak kemas selain bersifat peribadi menyerang AMK dan ‘menjilat’ pemimpin. Tuduhan terhadap AMK seolah kenyataan ini sebagai sabotaj kepada parti juga sangat dangkal. Jika teguran dan kritikan dikatakan sebagai sabotaj, adakah Keadilan sedang menuju kepada sebuah parti yang mana ahli perlu ‘tunduk dan jilat’ walau kelemahan pimpinan perlu ditegur?

Kita tidak berniat menunjukkan kebencian terhadap Christina seperti yang diperkatakan Chrisnadia, malah kita menyokong beliau untuk terus menjadi wakil rakyat Tawau dan DUN Api-Api. Namun kita bukan sahaja membawa suara 17 Ketua Cabang, malah membawa suara sayap AMK, Wanita, Srikandi dan Skuad Keadilan Sabah.

Chrisnadia juga mengungkit soal 3-4 lantikan politik oleh Christina kepada AMK ketika menjadi kerajaan. Jika habuan pangkat dan jawatan menjadi kayu ukur sumbangan Pengerusi negeri kepada AMK, bermakna Chrisnadia tidak tahu maksud kepimpinan sebenar dengan menjaga organisasi.

Merujuk kepada jelajah Pengerusi negeri, beliau melakukan jelajah setelah maklum bahawa majoriti Ketua-ketua Cabang menolak beliau. Christina telah turun ke tiga zon setakat ini. Adakah beliau mendapat sambutan? Kami berharap neliau boleh menilai sendiri sokongan terhadap beliau dan berlapang dada menerima keputusan.

Merujuk kepada soal kerja kami yakin Chrisnadia tahu bahawa sayap AMK, Srikandi, Wanita dan Skuad sentiasa turun ke lapangan malah jauh lebih aktif daripada program yang dijalankan Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Sabah.

Kenyataan Chrisnadia bahawa tindakan AMK ini bakal menyebabkan generasi muda menjauhkan diri dari parti ini juga tidak berasas. Kerana aktifnya sayap parti turun ke lapangan serta kelantangan menegur dan mengkritik bukan sahaja lawan malah sekutu termasuk pimpinan sendiri adalah sebab mengapa golongan muda termasuk aktivis dan golongan profesional memilih parti ini.

Parti ini melahirkan anak muda yang berani serta tidak tunduk kepada pemimpin seperti mana AMK pernah menegur Pengerusi Keadilan Sabah yang juga Ahli Parlimen Tawau ketika beliau gagal membantu rakyat yang dikenakan PKPD sehingga penduduk melakukan demonstrasi dengan mengabaikan wabak Covid-19 kerana keterdesakan apatah lagi dengan jawapan Ahli Parlimen Tawau itu yang dilihat tidak bijak.

*RAZEEF RAKIMIN*
Ketua Penerangan
Angkatan Muda Keadilan Sabah

*ARTINI ALI TAUGAN*
Ketua Penerangan
Wanita Keadilan Sabah

*SITI NORFFINIE YASSIN*
Ketua Penerangan
Srikandi Keadilan Sabah

*MOHAMAD RIDHWAN MASRIN*
Ketua Penerangan
SKUAD Keadilan Sabah

Related Articles

253FansLike

Latest Articles