Pelbagai usaha dibuat untuk rakyat berinteraksi dengan pemimpin

RANAU: Pelbagai usaha dilaksanakan dalam menyediakan platform untuk rakyat berinteraksi dengan pemimpin.

Bagi merealisasikan hasrat ini, Kelab Sukan dan Reaksi (SRC) Ulu Sugut, Ranau telah menganjurkan program bersama Timbalan Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Dr. Joachim Gunsalam, yang dibuat mengikut ketetapan prosedur operasi standard (SOP) di Balairaya Kampung Sinurai, hari ini.

Dr. Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian (MID) mengucapkan terima kasih kepada pengerusi penganjur kerana program seumpama ini dapat mengeratkan hubungan muhibah antara pemimpin dengan penduduk kampung.

Katanya, pembangunan infrastruktur serta fasiliti di kawasan ini akan diusahakan demi memberikan keselesaan kepada belia serta penduduk kampung.

Hubungan yang baik dengan Kerajaan Persekutuan dapat membantu dalam usaha merealisasikan pembangunan di sini, tambahnya.

Dr. Joachim turut berterima kasih kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan, Jabatan Air, Jabatan Pertanian dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ranau kerana turut memberikan sedikit sebanyak penerangan kepada golongan belia dan penduduk kampung dalam program ini.

Dr. Joachim juga mengingatkan kepada semua penduduk kampung untuk terus mengamalkan SOP yang ditetapkan kerana Ranau mencatatkan kadar jangkitan yang merunsingkan.

Beliau menyeru kepada semua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk memastikan semua penduduk kampung di bawah seliaan masing-masing telah melengkapkan vaksinasi, dua dos.

Dr Joachim juga berkata, JPKK disarankan untuk mengemukakan permohonan projek pembangunan kecil di kampung secara terus kepada Pegawai Daerah Ranau.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur, Jaminus Agang mengucapkan terima kasih di atas kehadiran dan komitmen semua pihak.

Kelab rekreasi ini sentiasa menyokong usaha dan dasar kerajaan, katanya.

Dalam program yang sama, Dr. Joachim telah menyampaikan sumbangan enjin bot dan kerusi balairaya kepada tujuh kampung iaitu Kampung Agan, Kg. Tundangon, Kg. Meridi, Kg. Pinitudaan, Kg. Tinaum, Kg. Mengkapoh dan Kg. Kotog serta sebuah sekolah, Sekolah Kebangsaan Gusi.

Turut hadir ialah Bendahari kepada Ahli Parlimen Ranau, Louis Sinti; Setiausaha Politik kepada Dr. Joachim Gunsalam, Yubidi Gumpoyo; Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Dounis Sany, Wakil Ketua Polis Daerah Ranau, ASP Helvin Ribus; Penolong Setiausaha Kanan Kementerian Belia dan Sukan, Muazad Shahrom Muhasif; Pengerusi SRC, Razif Kasim; Mahkamah Anak Negeri (MAN) dan Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) Ranau; JPKK, ketua kampung, pemaju-pemaju mukim serta semua pemimpin pertubuhan berdaftar serta ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles