KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Datuk Masidi Manjun bakal menyempurnakan majlis pelancaran pembukaan semula Kojasa di Suria Inanam hari ini.
Pelancaran Kojasa Mart itu mengakhiri teka-teki masa depannya yang amat dikenali dalam tahun 80-an sebagai kedai yang menawarkan harga rendah kepada pembeli, sebelum operasinya ditutup beberapa dekad yang lepas.
Difahamkan Lembaga pengarah Qhazanah Sabah Berhad (QSB) yang dipengerusikan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak telah merintis jalan untuk merealisasikan penjenamaan semula Kojasa dengan memberi mandat kepada Kojasa Holdings Berhad untuk melaksanakan perniagaan peruncitan.
Berbeza dengan operasi 1980an, Kojasa telah ditambah nilai di mana harga yang ditawarkan bukan sahaja kompetitif malah boleh dibeli melalui applikasi digital.
Inisiatif itu dipercayai dilaksanakan berdasarkan impak sosial selepas wabak covid-19 melanda yang menyaksikan kuasa pembeli semakin berkurang disebabkan ketidakstabilan ekonomi.
QSB selaku syarikat pelaburan milik penuh kepada Kerajaan Negeri Sabah dikatakan telah mengenalpasti beberapa model yang boleh diaplikasikan bagi memastikan perniagaan peruncitan melalui Kojasa Mart dapat menjana keuntungan, sekali gus membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan khususnya golongan belia di negeri ini.