KINABATANGAN: Kerajaan Persekutuan akan memberi tumpuan untuk membangunkan Sabah dan Sarawak, sekali gus memastikan kedua-dua negeri itu “duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi” dengan negeri-negeri lain di negara ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata buat pertama kali dalam sejarah, topik khusus mengenai pembangunan di Sabah dan Sarawak dimasukkan dalam Bajet 2022.
Beliau berkata kerajaan bertekad untuk menghapuskan kemiskinan tegar di negara ini khususnya di enam negeri iaitu Sabah, Sarawak, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
Selain itu, Ismai Sabri berkata kerajaan telah menambah peruntukan bagi membina atau menaiktaraf sekolah
daif di Sabah dan Sarawak.
Turut diberi perhatian ialah pembangunan luar bandar, katanya.
Menyedari keperluan meningkatkan capaian internet di Sabah, beliau berkata dibawah program jendela, kerajaan memperuntukkan sekitar RM3.5 bilion bagi tujuan itu dan merancang untuk membina sebanyak 534 menara telekomunikasi baharu di Sabah.
“Saya harap menara telekomunikasi ini siap dalam tempoh dua tahun, dan tidak ada lagi cerita pelajar naik pokok untuk dapat akses internet,” katanya.
Ismail Sabri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pelancaran Lebuhraya Pan Borneo Zon Timur di Dataran Tamu Pekan Kota, Kinabatangan, hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga anggota Parlimen Kinabatangan.
Mengenai pembangunan luar bandar, Ismail Sabri berkata sebanyak 105 projek baharu yang menelan belanja RM1.9 bilion akan dibina di Sabah.
Ini termasuk menaiktaraf jalan raya di Beluran, Telupid dan Sook dan projek bekalan air antaranya di Kota Marudu, Tuaran dan Pulau Banggi.
Ismail Sabru turut mengumumkan pembinaan sebuah sekolah di Lung Manis dan menambah 24 bilik darjah untuk kemudahan para pelajar SMK Pasir Puteh di Sandakan.
Bagi Kinabatangan, katanya beberapa projek baharu akan dilaksanakan termasuk kemudahan belakan air dan jambatan merentasi sungai.
Pada majlis itu, Perdana Menteri meluluskan peruntukan RM6 juta bagi membina sebuah Dewan Serbaguna Kota Kinabatangan, RM5 juta untuk Pasar Awam Kota Kinabatangan dan RM3 juta bagi membina pusat pelupusan sampah di tempat yang sama.