KOTA KINABALU: Dua kluster baharu Covid-19 direkodkan di Sabah hari ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata kluster pertama iaitu Kluster Sawit Jati di Kinabatangan setakat ini telah menjangkiti 25 orang dengan 22 merupakan kes baharu pada hari ini.
Beliau berkata kluster kedua yang baru ialah Kluster Tumbalang di Ranau yang setakat ini telah menjangkiti 56 orang dan dua daripadanya adalah kes baharu pada hari ini.
Masidi berkata Sabah sekali lagi mencatatkan peningkatan tinggi dalam kes harian Covid-19 iaitu pertambahan 126 kes berbanding kelmarin, menjadikan jumlah keseluruhan hari ini sebanyak 675 kes.
Beliau berkata demikian dalam hantaran terbaharu di media sosial.
Menurut Masidi, sebanyak 18 daerah mencatatkan peningkatan, dengan 10 daerah mencatatkan peningkatan ketara, Ranau +34 kes, Kota Kinabalu +26 kes, Tuaran +15 kes, Kinabatangan +15 kes, Sandakan +13 kes, Keningau +13 kes, Sipitang +13 kes, Kota Marudu +12 kes, Papar +12 kes dan Putatan +10 kes.
“Sebanyak sembilan daerah lagi mencatatkan penurunan namun hanya dua daerah yang menunjukkan penurunan signifikan iaitu Tawau -23 kes dan Kudat -18 kes,” katanya.