KOTA KINABALU: Diplomat dan ekspatriat termasuk tanggungan yang sedang bermastautin di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dibenarkan masuk ke Sabah bagi tujuan lawatan sosial.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata mereka dibolehkan berbuat demikian tanpa memerlukan kelulusan khas masuk.
Bagaimanapun, golongan itu wajib memiliki pas-pas imigresen Malaysia yang sah tempoh untuk masuk ke Sabah., katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Masidi berkata pemegang MyPR bukan Sabah/ Kad Permit Masuk atau Endosmen Permit Masuk dalam Pasport yang sedang bermastautin di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan juga dibenarkan masuk ke Sabah bagi tujuan lawatan sosial tanpa memerlukan kelulusan khas masuk.
Katanya golongan itu wajib mengemukakan pasport semasa pemeriksaan imigresen di pintu-pintu masuk Sabah.