KOTA KINABALU: Menyedari akan kepentingan gaya hidup sihat, Kelab Bolasepak BMU FC mengadakan aktiviti santai bola sepak empat penjuru tertutup bagi ahli berdaftar Kelab Bola sepak BMU Kota Kinabalu di Padang Safa Likas pada Ahad.
Menurut presiden BMU FC Ninewjo Newmond, program itu, antara lain, bertujuan Mengeratkan hubungan sesama ahli dan ahli jawatankuasa tertinggi BMU FC sambil bersukan untuk kesihatan.
Katanya acara itu diadakan setiap bulan, tertakluk kepada keadaan khususnya ancaman pandemik Covid-19.
Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Setiausaha Perhubungan Kementerian Belia dan Sukan Sabah Jordan Jude Ellron.
Turut hadir Ninewjo dan Pengarah kejohanan empat penjuru Dyendebe Elver @Ebo.
Jordan berkata aktiviti sukan amat penting bagi menjaga kesihatan susulan peningkatan masalah obesiti kalangan masyarakat termasuk golongan belia semakin membimbangkan.
“Justeru, saya menyarankan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat termasuk menjaga pemakanan, bergerak aktif dan bersenam,” katanya.
Acara penyampaian hadiah program santai bolasepak itu akan diadakan di Pusat Eko-Pelancongan Kandaki, Mantob Kiulu pada Khamis ini.