Tambahan PGA antara cadangan perkasa kawalan keselamatan di Sabah

 

KUALA LUMPUR: Penambahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kudat dan Keningau merupakan antara cadangan bagi memperkasa kawalan keselamatan di Sabah.
Timbalan Menteri Dalam Negeri II Jonathan Yasin berkata kementerian juga mempunyai perancangan antaranya untuk membina pos kawalan di Manalunan dan Kalabakan serta pembinaan operasi hadapan di Pulau Siamil, Semporna.
“Ini sebagai tambahan untuk menjaga keselamatan negeri khususnya mencegah pendatang tanpa izin daripada memasuki Sabah serta meningkatkan keyakinan pelabur untuk kekal di kawasan pantai timur (Sabah) supaya mereka boleh berniaga dengan selamat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mengenai langkah komprehensif diambil kerajaan bagi mengelak pencerobohan sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat dan pelabur terutama di pantai timur Sabah.
Dalam pada itu, Jonathan berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) mengambil pendekatan menyeluruh menangani masalah pencerobohan pendatang tanpa izin dengan memastikan kesiagaan aset keselamatan berada pada tahap optimum selain mengukuhkan kawalan keselamatan secara bersepadu di bawah Op Benteng.

Katanya dalam tempoh 1 Mei tahun lepas hingga 29 Okt lepas, 813 pendatang tanpa izin warga Filipina ditahan menerusi Op Benteng di negeri itu.
Berhubung dengan isu ketelusan pasukan keselamatan yang beroperasi di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), Jonathan berkata tiga elemen utama di ESSCom iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mempunyai unit integriti masing-masing yang akan membuat pemantauan secara berkala ke atas pegawai dan anggota yang bertugas di lapangan.
Beliau menjawab soalan Bung Moktar mengenai usaha memastikan perairan Sabah benar-benar kukuh daripada diceroboh pendatang tanpa izin terutama dari Filipina dan jaminan kerajaan berhubung ketelusan perkhidmatan anggota keselamatan dalam melaksanakan tugasan di perairan negeri itu.
— BERNAMA

Related Articles

253FansLike

Latest Articles