KOTA KINABALU: Jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan di Sabah menurun sebanyak 203 kes hari ini kepada 447 berbanding 650 kes pada Sabtu.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata mengikut trend semasa, penurunan besar tersebut biasanya bersifat sementara dan akan turun-naik dari masa ke masa.
“Kecuali daerah Kota Kinabalu, semua daerah lain di Sabah mencatatkan angka Covid baharu di bawah paras 50.
“Kota Kinabalu mencatat 84 kes, peningkatan 37 kes berbanding jumlah kes yang direkodkan pada Sabtu,” katanya dalam hantaran terbaharu di media sosial.
Masidi berkata kebanyakan daerah mencatatkan penurunan kes baharu, antaranya Kota Belud (-36), Tuaran (-38), Beaufort (-36), Papar (-17), Kinabatangan (-48), Penampang (-10) dan Sandakan (-16).
Beliau berkata daripada 447 kes yang dilaporkan hari ini, sebanyak 236 kes atau 52.8% merupakan kes yang berlaku dan didaftar dalam tempoh 24 jam yang lalu setelah keputusan saringan diketahui.
“Selebihnya adalah kes-kes yang didaftar lewat dua hari atau lebih setelah keputusan saringan diketahui. Sebanyak 78 daripada 84 kes yang dicatat di Kota Kinabalu adalah kes-kes daftar-lewat dua hari atau lebih,” katanya.
Masidi berkata sebanyak 98% daripada semua kes yang dilaporkan hari ini adalah pesakit-pesakit dalam Kategori 1 (51) dan 2 (383).
Pesakit-pesakit dalam kategori 3, 4 dan 5 kekal rendah, katanya.