Belia nikmati manfaat dalam banyak sudut: Fairuz

 

KOTA KINABALU: Ketua ARMADA BERSATU Negeri Sabah, Fairuz Renddan menyifatkan pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat sebagai Bajet yang mengutamakan rakyat dari semua sudut, termasuk golongan belia.

Advertisements

“Sebanyak RM300 juta nilai keseluruhan peruntukan disediakan melalui Program e-Start kepada pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi (IPT) dan golongan belia berusia 18 hingga 20 tahun, dengan pengkreditan RM150 secara one-off ke dalam akaun e-dompet.

“Selain itu, RM10 juta peruntukan kepada Majlis Sukan Negara untuk meningkatkan program latihan atlet OKU dan pelaksanaan Liga Sukan OKU, dan saya merasakan ini amat wajar kerana ramai belia kita yang OKU, mempunyai kemahiran dalam bidang sukan dan boleh diketengahkan lagi,” katanya.

Fairuz berkata demikian dalam satu kenyataan media, di sini pada Ahad.

Fairuz yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan juga berkata usaha kerajaan untuk membantu golongan belia juga terbukti apabila insentif bagi tempoh enam bulan akan diberikan kepada majikan yang menggaji perantis lepasan sekolah dan graduan berusia 18 hingga 30 tahun.

“RM900 sebulan diberikan kepada majikan untuk tempoh enam bulan, ini adalah antara usaha dan bukti bahawa pihak kerajaan berusaha keras untuk memastikan golongan belia tidak tercicir daripada memperoleh pekerjaan, tidak kira bagi mereka yang merupakan lepasan sekolah menengah, mahupun graduan yang berusaha mencari pekerjaan tetap,” jelas Fairuz.

Tambah beliau lagi, perbelanjaan pembangunan untuk negeri Sabah yang diumumkan dengan jumlah RM5.2 billion juga adalah antara yang wajar dibanggakan dan bukti keprihatinan Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan di negeri Sabah.

“Kerana itu, sejak kita mengambil alih pemerintahan negeri, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sering kali menekankan aspek pembangunan seimbang dan berkesan untuk negeri Sabah dan kejayaan pembangunan serta pentadbiran hanya mampu dijayakan sekiranya haluan kita seiring dengan Kerajaan Persekutuan, alhamdulillah, semuanya berhasil dan semoga usaha murni untuk membawa kemajuan kepada rakyat Sabah terus dapat direalisasikan,” ujar beliau lagi.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles