KOTA KINABALU: Jawatankuasa Pengurusan Covid Negeri akan mempertimbangkan keputusan kerajaan Persekutuan yang membenarkan aktiviti rentas negeri di seluruh negara berkuatkuasa pada Isnin.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata jawatankuasa itu akan mengemukakan cadangan dan perakuan dalam Mesyuarat Kabinet pada Rabu ini.
“Kita ambilkira peratusan penduduk dewasa di Sabah yang telah memperolehi vaksin lengkap belum sampai kepada 90 peratus (hanya sekitar 65%), parasyarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk membolehkan rentas negeri.
“Sabah masih berada dalam kawalan pergerakan perjalanan mengikut Zon (sistem Zon), dan kawalan rentas daerah diluar kawasan Zon masih berkuatkuasa,” katanya ketika dihubungi.
Masidi berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung perkara itu di ibu negara pada Ahad.
Ismail Sabri berkata keputusan membenarkan rentas negeri itu dibuat setelah kadar vaksinasi populasi dewasa di negara ini mencapai 90 peratus.Â
“Kerajaan bersetuju memberi kebenaran untuk Keluarga Malaysia yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran daripada polis bermula esok,” kata Ismail Sabri pada sidang media khas yang disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen televisyen tempatan dan platform media sosial.
Sebelum ini, Kerajaan Sabah bersetuju untuk membenarkan rentas daerah “mengikut zon” sebagai proses peralihan berkala daripada sekatan rentas daerah kepada rentas zon berkuatkuasa 1 Oktober.
Bagaimanapun, Masidi berkata, kebenaran itu tertakluk kepada syarat iaitu kadar vaksinasi lengkap bagi penduduk dewasa Sabah telah mencapai 60 peratus dan daerah dalam setiap zon juga mencapai nilai ambang 60 peratus penduduk dewasa lengkap divaksin.
Susulan itu, 18 daerah di Sabah beralih ke sekatan pergerakan mengikut zon yang dibahagikan kepada lima zon.
Baki sembilan daerah lagi kekal dikenakan sekatan rentas daerah adalah Kinabatangan, Telupid, Tongod, Sandakan, Kalabakan, Tawau, Papar, Semporna dan Nabawan.
Sembilan daerah terbabit tidak dimasuk dalam mana-mana zon kerana belum mencapai tahap 60 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin.