PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyambut baik penekanan aspek sekuriti makanan yang telah diberikan keutamaan yang sewajarnya dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) yang diluluskan tanpa pindaan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober 2021 bagi meningkatkan keupayaan sektor agromakanan sebagai suatu sektor yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat serta mengutamakan sekuriti makanan negara.
Menterinya Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata elemen jaminan sekuriti makanan merupakan prioriti Kementerian Pertanian dan Industri Makanan untuk tempoh lima tahun akan datang dalam usaha meningkatkan ketersediaan makanan negara dan telah dijajarkan dalam dokumen dasar utama Kementerian iaitu Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (DSMN) 2021-2025.
Dr Ronald berkata, secara keseluruhannya, sektor pertanian diunjur berkembang sebanyak 3.8% setahun dalam tempoh RMKe-12 dan menyumbang 7% kepada KDNK pada tahun 2025. Dalam hubungan ini, sasaran pertumbuhan sektor agromakanan yang dijangka berkembang pada kadar 4.5% setahun dalam tempoh RMKe-12 bakal meletakkan sektor ini antara penyumbang utama kepada KDNK negara.
Dalam tempoh pelaksanaan RMKe-12, sektor pertanian akan dipergiat dengan menggunakan teknologi pintar untuk meningkatkan produktiviti dan mengukuhkan tahap sekuriti makanan negara merentas semua subsektor agromakanan. Inisiatif ini termasuk menerima pakai kaedah pertanian berteknologi tinggi merangkumi analisis data raya (BDA), kecerdasan buatan (AI), internet benda (IoT) serta peralatan tepat seperti dron, robotik dan sensor di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM). Di samping itu, kaedah pertanian pintar secara menegak dan tertutup akan diperluas dengan memanfaatkan tanah sedia ada dan bangunan terbiar.
Melangkah ke hadapan, para petani akan digalakkan untuk menerima pakai amalan pertanian organik untuk memenuhi permintaan yang semakin bertambah terhadap produk organik dan menjana pendapatan yang lebih tinggi. Dalam bidang perikanan tangkapan, koperasi dan persatuan akan digalakkan untuk menceburi aktiviti perikanan laut dalam dan laut lepas dengan menggunakan kapal moden dan peralatan inovatif untuk meningkatkan hasil dan daya saing serta menggalakkan industri perikanan yang mampan. Manakala bidang ternakan turut akan diberi fokus dengan matlamat meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan keselamatan makanan melalui amalan penternakan baik dan moden.
Tambah Dr. Ronald, bagi menggalakkan pemodenan dalam sektor pertanian, mekanisme pembiayaan dan struktur insentif baharu akan diperkenal untuk mempercepat pembangunan industri berpotensi tinggi, terutama bagi menerima guna teknologi 4IR. Dana pertanian pintar yang khusus akan diwujudkan untuk mempercepat penerimagunaan teknologi moden dalam sektor pertanian. Dana ini akan menyediakan peluang kepada petani, terutama agropreneur muda untuk memodenkan aktiviti pertanian di sepanjang rantaian nilai bagi memastikan sekuriti makanan.
Inisiatif ini turut akan menarik pelaburan berkualiti, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan menghasilkan lebih banyak produk yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi. Ia juga akan menangani isu sekuriti makanan dan kebergantungan kepada tenaga kerja asing yang berkemahiran rendah.
Selain itu, petani, koperasi, persatuan serta industri pertengahan dan hiliran akan turut digalakkan untuk memanfaatkan platform e-dagang bagi meningkatkan pemasaran hasil pertanian. Ini akan mengurangkan kebergantungan yang berlebihan kepada orang tengah. Platform ini juga akan membuka peluang kepada penyumberan luar (outsourcing) perkhidmatan jentera dan peralatan perladangan bagi memanfaatkan sepenuhnya sumber dan mencapai kecekapan kos.
Kemahiran tenaga kerja akan dipertingkat melibatkan golongan belia melalui semakan semula kurikulum dan modul latihan untuk mewujudkan tenaga kerja yang kompeten bagi memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan. Bagi mengiktiraf petani yang terlatih dan berpengalaman, sebuah badan profesional bakal ditubuhkan.
Kementerian juga akan terus merancakkan usaha penerimagunaan teknologi moden dan baharu dalam sektor pertanian bagi memangkinkan pertumbuhan sektor ini sekaligus mempercepat transformasi sektor pertanian kepada sektor yang moden, dinamik dan berdaya saing yang disokong oleh R&D&C&I yang lebih meluas seperti yang digariskan dalam RMKe-12.
Di samping itu, strategi dan inisiatif di bawah DAN 2.0 dan DSMN juga akan terus dilaksana bagi mencapai sasaran tahap sekuriti makanan dan mematuhi standard keselamatan makanan antarabangsa. MAFI komited untuk melaksanakan semua strategi yang telah digariskan di bawah RMKe-12 bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan dalam mencorak semula masa hadapan negara selaras dengan matlamat kemakmuran, inklusiviti dan kemampanan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.