Oleh: Jaafar Abd Wahid
KOTA KINABALU : UMNO Sabah menyambut baik kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa parti itu sedia berhadapan dengan UMNO disemua kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ia merupakan keputusan parti dimana UMNO akan mempertahankan kerusi Parlimen yang dimenangi parti itu pada PRU yang lalu.
“Di Sabah kita ada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tetapi walau bagaimanapun apabila parti membuat keputusan untuk kita bertanding maka UMNO tiada pilihan.
“UMNO kena mempertahankan kerusi-kerusi yang ditandingi dan seterusnya akan memperkasakan parti,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.
Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, selaku ketua parti di peringkat negeri pihaknya sedia untuk berhadapan dengan mana-mana parti termasuk BERSATU dan sebagainya.
“Kita telah mengharungi pelbagai dugaan yang besar, kita pernah menang, pernah kalah dan menang semua.
“Jadi ini bukan satu rintangan yang besar untuk kita semua bertentangan dengan mana-mana parti dalam PRU akan datang,” katanya.
Beliau turut meminta agar semua jentera parti disemua peringkat untuk sentiasa bersedia menghadapi PRU akan datang.