BELURAN: Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) ESSCOM di Sapi Nangoh telah menahan 2 lelaki warga tempatan kerana disyaki menyeludup 12.37 gram Dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM 1,200.00, dekat sini, petang kelmarin.
Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) DCP Datuk Ahmad Fuad Othman dalam satu kenyataan berkata bertindak atas maklumat Task Force BN 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) kira-kira jam 5.30 petang itu, ketika sepasukan anggota BN 20 PGA membuat sekatan jalan raya di RCP Sapi Nangoh, telah menahan dan memeriksa sebuah kereta yang dinaiki 2 lelaki dalam keadaan mencurigakan dari arah Sandakan menuju ke Kota Kinabalu.
Menurutnya lagi, hasil pemeriksaan tubuh badan terhadap pemandu berkenaan, telah menemui 2 paket plastik Lutsinar yang disyaki mengandungi dadah jenis syabu yang disembunyikan dalam sampul surat putih.
“Kedua-dua Suspek yang berumur antara 38-44 tahun telah ditahan untuk tindakan lanjut.”
“Turut disita sebuah kereta jenis Hyundai Atos yang dianggarkan bernilai RM 15,000.00.”
“Kesemua suspek telah dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah Beluran untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 39A(1), Akta Dadah Berbahaya 1952”, katanya.
Sehubungan itu, Ahmad Fuad merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi keselamatan yang terlibat dalam membantu menjayakan pelaksanaan Pusat pemeriksaan daratan (RCP) di simpang Sapi Nangoh di daerah ini terutamanya kepada semua anggota BN 20 PGA.
Beliau berkata kejayaan ini merupakan hasil usaha dan kerjasama semua pihak yang terlibat terutamanya dalam kita untuk menggagalkan taktik penyeludup dadah di daerah ini.
Menurutnya lagi, ESSCOM dengan kerjasama semua agensi keselamatan di ESSZONE yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan terus memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan perairan dan daratan di seluruh ESSZONE dengan mengadakan rondaan dan pemantauan secara agresif melalui pelaksanaan OP Cegah Pati (OCP) dan Pusat Pemeriksaan Darat (RCP) di Kalabakan, Tawau dan di Simpang Sapi Nangoh, Beluran bagi mengawal dan mengekang kemasukan PATI terutamanya daripada negara jiran dalam usaha kita untuk memutuskan rangkaian COVID-19 daripada di bawa masuk ke negara ini melalui PATI.