Oleh Ketua Pemuda PCs Ag Zakariah Ibrahim
KOTA KINABALU: Kami di Parti Cinta Sabah menyambut baik saranan mantan Perdana Menteri, YB Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak yang menyatakan pemilihan semula wakil rakyat adalah lebih baik berbanding undang-undang antilompat jika ahli Parlimen mahu bertukar kepada parti lain baru-baru ini dalam kenyataan beliau kepada media tempatan.
Sebenarnya, salah satu daripada Akujanji utama di dalam Manifesto Parti Cinta Sabah sejak pilihan raya lepas lagi adalah memperkenalkan “Recall Petition”, sebagai langkah untuk menghentikan “budaya melompat parti”.
Secara jujurnya, Presiden Parti Cinta Sabah, YBhg Dato’ Sri Anifah Haji Aman pernah menyatakan bahawa perkara ini adalah budaya politik yang menjengkelkan. Rakyat sudah beri kepercayaan kepada pemimpin yang bertanding di bawah panji sesebuah parti, namun bila dia melompat parti, ia adalah pengkhianatan kepada undi rakyat yang telah diberikan.
Banyak daripada permasalahan yang timbul dalam senario politik – bukan sahaja di Sabah bahkan di seluruh Malaysia adalah kerana wujudnya golongan pemimpin yang melompat keluar dan masuk ke parti-parti lain. Dari sudut tempatan di sini, sekian lama sudah negeri Sabah kita dibelenggu dengan ketidakstabilan politik dan ekonomi akibat budaya melompat parti.
Hal ini biasa terjadi akibat tamak kuasa, tetapi ia juga berleluasa akibat ketiadaan langkah perlindungan atau “safeguard measure” menangani budaya melompat parti ini. Meskipun PCS menghormati hak mana-mana pemimpin hatta orang biasa untuk bebas menyertai mana-mana parti politik atau dalam kata mudah: “freedom to associate”, namun kita harus mengambil langkah untuk menghentikan bahana dan akibat teruk yang datang daripada budaya melompat parti sepertimana yang sering berlaku kini.
Akujanji “Recall Petition” yang PCS telah lama cadangkan adalah satu gubalan perundangan yang membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya terus mengumumkan kerusi seseorang ADUN sebagai telah dikosongkan atau “vacant”, sekiranya ADUN tadi berlaku curang dan mengkhianati parti dengan melompat parti, meletak jawatan daripada parti, atau dipecat parti atas alasan yang munasabah.
Ini bermakna, individu tadi kini bebas memilih ingin bersama mana-mana parti politik. Nak lompat, lompatlah. Cumanya, Pilihan raya kecil atau PRK akan diadakan supaya mandat dapat dikembalikan kepada rakyat untuk membuat pilihan.
Parti Cinta Sabah akan terus berusaha memastikan perundangan berkaitan “Recall Petition” ini akn digubal dan dilaksanakan demi masa depan Sabah yang lebih stabil. Kami berharap bahawa perkara ini akan dilaksanakan dengan segera di semua peringkat bagi menjamin masa depan yang lebih baik dan stabil di Negara kita.