LAHAD DATU: Program vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Sri Perdana, Lahad Datu mendapat sambutan baik daripada masyarakat sekitar.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Segama, Mizma Appehdullah berkata, dianggarkan lebih 1,000 penduduk hadir bagi mendapatkan vaksin tersebut.
Menurut beliau, sambutan itu jelas menunjukkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan vaksin semakin tinggi khususnya bagi mengekang wabak Covid-19 dalam komuniti.
“Hari ini saya bersama sahabat Ahli Majlis Daerah Lahad Datu Bashir Ahmad dan Rafee Wahid berkesempatan turun meninjau dan melawat PPV ini.
“Sebelum ini kita amat maklum keadaan sesak sehingga timbulnya kegusaran terkait pematuhan SOP dalam kalangan warga kita yang hadir ke pusat ini,” katanya.
Beliau berkata, hasil kerjasama semua pihak beberapa penambahbaikan berjaya dilaksana terutama sekali melibatkan pematuhan SOP semasa menunggu giliran divaksin.
“Pastinya keadaan yang tersusun dan teratur ini adalah atas inisiatif daripada para petugas yang terlibat. Sehubungan itu saya ingin menyampaikan rasa penghargaan saya dan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada kakitangan Kementerian Kesihatan KKM yang mengambil maklum dalam mengurus dan meletakkan keutamaan kepada perkara ini.
“Usaha kita bagi mencapai tahap komuniti kelompok pastinya akan lebih pantas dan selamat dengan keadaan sebegini. Kita tidak mahu PPV menjadi pusat wujudnya kluster baharu,” ujar beliau.
Tambah Mizma, pelaksanaan SOP dengan pemantauan ketat dan sentiasa diperbaiki adalah satu usaha berpanjangan yang amat perlu diawasi dan dijaga sepanjang masa.
“Semoga usaha yang dilaksana ini mampu mencapai sasaran seperti yang diharapkan oleh kerajaan,” katanya.