Fokus capai imuniti kelompok dan usaha pulih ekonomi: Fairuz

KOTA KINABALU: Ketua Armada BERSATU Negeri Sabah, Fairuz Renddan menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan berharap agar fokus utama untuk mencapai perlindunga imuniti kelompok dan pemulihan ekonomi diteruskan sepertimana yang dirancang dan dilaksanakan sebelum ini.

Advertisements

“Beliau adalah pemimpin senior yang berpengalaman dan kita yakin beliau mampu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan khasnya di saat ini dimana fokus utama kita adalah untuk memastikan rakyat kita divaksin dan kita berjaya bangkit semula walaupun dugaan pandemik COVID19 ini amat menekan.

“Pastinya kita akan terus menyokong dan memberi kerjasama kepada semua usaha berterusan pihak kerajaan khasnya yang memberi kebaikan kepada rakyat dan negara kerana kita perlu bersama-sama bangun semula dan berganding bahu untuk keluar dari dilema pandemik ini,” katanya.

Fairuz berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Fairuz yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan juga berkata sokongan daripada Perikatan Nasional (PN) kepada Ismail adalah dibuat bersama dan semata-mata untuk menjamin kesejahteraan pentadbiran kerajaan dan tadbir urus negara.

“Pasti semua ingin yang terbaik untuk pemulihan negara, sama ada dari segi ekonomi dan keselamatan rakyat dan ini semua adalah satu pertimbangan yang wajar difokuskan tanpa perlu timbul isu lain yang mampu menjejaskan usaha murni kerajaan yang telah dilaksanakan oleh barisan kerajaan dahulu ketika pentadbiran Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Dalam segi perlantikan barisan menteri dalam kabinet pula, pastinya beliau (Ismail) bijak dan akan memilih barisan menteri yang mampu menggalas tanggungjawab khasnya untuk berganding tenaga dan idea bagi membawa keluar Malaysia dan semua rakyat dari kemelut COVID19,”katanya lagi.

Fairuz turut menyeru semua pihak agar terus berdoa untuk kesejahteraan Malaysia dan bekerjasama ke arah usaha untuk memulihkan negara.

“Kita semua mempunyai tanggungjawab masing-masing, untuk pulihkan ekonomi, pulihkan tahap kesihatan, melindungi keluarga dan rakan di sekeliling kita, dan pastinya berjuang untuk keharmonian negara.

“Saya yakin, jika niat kita murni, Tuhan akan memudahkan urusan kita dan membantu memberikan jalan keluar.

“Kepada para pemimpin, ayuh kita fokus pada usaha kita membantu rakyat, usah kita bersengketa, jangan kita mengadu domba, menjadi duri dalam daging, matlamat kita sama, hanya ingin memerdekakan negara dari belenggu COVID19, mari kita bersama, bersabar dan berkhidmat kerana inilah yang rakyat harapkan,”ujar Fairuz lagi.

Ismail mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-9 di Istana Negara sebentar tadi.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles