Esscom Tahan Warga Tempatan, Rampas 20 Kotak Rokok Belum Lulus Kastam di Kalabakan

725

TAWAU: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) telah menahan seorang lelaki warga tempatan kerana disyaki menyeludup 20 kotak rokok yang belum lulus kastam di kawasan Felda Tengah 01, Kalabakan, dekat ini awal pagi tadi.

Komander ESSCOM DCP Datuk Ahmad Fuad Othman berkata ketika kejadian jam 1.15 pagi itu, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota keselamatan yang diketuai oleh ESSCOM telah membuat serbuan terhadap sebuah kongsi kayu rumah pekerja no.3, Felda tengah 01, Kalabakan.

Beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap rumah tersebut, telah menjumpai sebuah kotak berwarna coklat yang disembunyikan di bawah tangga menuju ke ruang dapur, rumah kongsi berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut terhadap kotak tersebut, menemui 20 kotak (kartoon) rokok jenis LA Menthol lights yang disyaki belum lulus kastam bernilai lebih RM 1,000.00.”, katanya.

Beliau berkata rokok seludup berkenaan disyaki diseludup untuk dipasarkan di kawasan Felda kalabakan dan kawasan sekitarnya.

“Suspek yang berumur 16 tahun bersama barang rampasan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967”, katanya.

Sementara itu, Ahmad Fuad Othman merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua anggota keselamatan yang terlibat dalam menjayakan operasi berkenaan.

ESSCOM akan sentiasa mengatur gerak operasi keselamatan di kawasan daratan dan laut bagi mencegah dan membanteras aktiviti penyeludupan migran serta kemasukan pati selain memantau pergerakan kegiatan Kidnapping for ransom group (KFRG) yang dilihat menjadi ancaman keselamatan kepada negeri ini.

Operasi-operasi seumpama ini akan sentiasa digerakkan 24 jam tanpa henti dengan kerjasama dan sokongan semua pasukan keselamatan di kawasan ESSZONE bagi memastikan semua aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk kegiatan culik untuk tebusan dapat dibanteras dengan jayanya.