Lelaki Cedera Parah Dalam Kemalangan di Jalan Kg Pulutan, Menggatal

916

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dikejarkan ke Hospital akibat kecederaan yang dialaminya selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kampung Pulutan, Menggatal dekat sini pada Rabu.

Mangsa Vun Fook Khiong, 53, semasa kemalangan tersebut dikatakan sedang membaiki kereta jenis pacuan empat roda yang rosak di tepi jalan sebelum kenderaan itu bergerak ke belakang dengan sendiri menyebabkan lelaki itu dihimpit kenderaan tersebut.

Menurut kenyataan Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 1224 tengahari.

Kenyataan itu berkata lima anggota pelbagai pangkat dengan sebuah jentera bomba dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan tersebut.

Anggota bomba berjaya mengeluarkan mangsa lelaki yang mengalami kecederaan parah itu sebelum menghantarnya ke hospital berdekatan.