SMK Mutiara komited membantu murid terkesan Covid-19

LABUAN- Usaha SMK Mutiara dalam mendekati warga sekolah khususnya murid-murid yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di sekolah ini haruslah diberi pujian. Hal ini demikian kerana pendekatan “bantu dan sayang” yang dilakukan oleh pengurusan sekolah sekurang-kurangnya dapat meringankan masalah yang dihadapi oleh murid-murid, demikianlah yang dikatakan oleh Yusop Haji Mohamad, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan semasa merasmikan Program Ziarah Cakna Maya Perdana yang disiarkan menerusi Google Meet baru-baru ini.

Advertisements

“Sesungguhnya dedikasi, empati serta semangat yang ditunjukkan oleh semua yang terlibat membuktikan bahawa kita semua peka dan mengambil berat terhadap masalah dan isu keperluan warga dan anak-anak didik SMK Mutiara pada masa ini. Seperti yang kita sedia maklum,  di Pulau Labuan ini, kes aktif Covid-19 telah meningkat dengan pantas sekali sejak awal Mei hingga Jun dan secara tidak langsung menyumbang kepada kematian yang agak tinggi di Labuan”

“Masyarakat di sekeliling kita, termasuk anak-anak didik kita juga terlibat secara langsung dalam menghadapi permasalahan dalam kehidupan dan keluarga  sepanjang pandemik ini. Tidak ketinggalan juga, ramai dalam kalangan murid kita yang telah kehilangan ibu dan bapa tersayang  secara tidak diduga”, tambahnya lagi.

Justeru, program yang diadakan ini bertujuan untuk menggembleng amalan cakna dan prihatin serta berkongsi rasa, menyemarakkan iltizam dan bersama berganding bahu antara warga sekolah dan  ibu bapa serta anak-anak didik dalam melaksanakan aktiviti kebajikan yang bercorak pendampingan sosial sejajar dengan konsep “kebajikan tanggungjawab bersama”.

Program seumpama ini sudah tentu akan memberi manfaat kepada kita semua, dalam membantu meringankan beban anak-anak didik kita. Inilah bukti jelas tentang usaha-usaha warga pendidik yang sentiasa komited dalam memastikan anak-anak kita semua mampu terus berusaha dalam pelajaran walaupun ada halangan dan ujian yang dihadapi oleh mereka.

Manakala Yahya Ahmad Puteh, Pengetua SMK Mutiara pula mengatakan bahawa seramai empat orang murid di sekolah ini yang kehilangan ibu atau bapa yang disebabkan oleh pandemik Covid-19. Tiga daripadanya merupakan murid Tingkatan Lima manakala seorang murid pula merupakan murid Tingkatan Satu. Justeru, pihak sekolah mengucapkan ribuan terimakasih kepada semua guru, PIBG dan komuniti yang membantu anak-anak murid ini supaya kita dapat meringkankan sedikit beban yang ditanggung serta dapat menyokong emosi mereka bahawa masih ada orang yang mengambil berat tentang diri murid.

“Kita akan sentiasa membudayakan amalan “bantu dan sayang” dalam mendekati murid kerana murid-murid ini dalam apa-apa jua keadaan perlu dibantu, disayangi dan diberi sokongan emosi apatah lagi ada dalam kalangan mereka ini yang akan menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia bagi tahun 2021”, tambah Yahya lagi.

Program Ziarah Cakna Maya Perdana merupakan program yang dianjurkan oleh Pengurusan Hal Ehwad Murid dan diurusetiakan oleh Unit Bimbingan Dan kaunseling serta Panitia Pendidikan Agama Islam. Antara pengisian program ini ialah bacaan Yassin, bacaan Tahlil dan Doa Selamat agar warga sekolah khususnya dilindungi daripada segala musibah serta simbolik penyerahan sumbangan kepada murid-murid yang terlibat. Program ini juga mendapat kerjasama yang baik daripada warga sekolah, ibu bapa dan komuniti.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Tuan Haji Abdul Rahman Ahmad, Timbalan Pengarah Pendidikan Labuan , Norhani Yusof, Pemangku YDP SMK Mutiara , penolong-penolong kanan serta ibu bapa dan murid yang terlibat.

 

 

Related Articles

253FansLike

Latest Articles