Pendekatan Inklusif Kerajaan Menangani Pandemik Covid-19 – Ronald

BELURAN: Inisiatif Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen, termasuk Ahli Parlimen Pembangkang dibawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) membuktikan bahawa dalam menyampaikan bantuan kepada rakyat, Kerajaan sentiasa mengambil sikap untuk mengetepikan perbezaan politik dan semua pihak mestilah memikul tanggungjawab bersama tanpa agenda politik, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Advertisements

“Polemik politik ketika pandemik hanya akan merugikan rakyat dan negara sebaliknya Kerajaan mengambil pendekatan untuk terus fokus pengurusan COVID-19 secara inklusif melalui pendekatan ‘whole of government’ dan ‘whole of society’ dengan meletakkan kepentingan rakyat diatas segalanya tanpa mengira siapa akan mendapat nama sekiranya kita berjaya kelak dalam peperangan menentang pandemik COVID-19 ini,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan bantuan kepada nelayan-nelayan di Kampung Pulau Keniogan,hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Beluran meninjau masalah infrastruktur penduduk dan rumah- rumah nelayan di Kampung Keniogan yang rosak dan terjejas akibat kejadian ribut dan hujan lebat pada 5 Julai lepas.

Pada lawatan itu, Dr Ronald turut menyerahkan bantuan peralatan membaiki rumah melalui peruntukan Parlimen wakil rakyat serta bantuan bakul makanan yang disediakan dibawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Sebanyak 45 Ketua Isi Rumah telah mendapat bantuan yang merangkumi peralatan membaiki rumah dan makanan yang diagihkan oleh Pejabat Parlimen Beluran, Pejabat ADUN Labuk dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Tambah Dr Ronald, sebelum ini, Pejabat Parlimen Beluran juga telah mengagihkan 17,000 bantuan bakul makanan dan dengan peruntukan tambahan di bawah PEMULIH, jumlah keseluruhan bantuan bakul makanan di Kawasan Parlimen Beluran untuk golongan yang memerlukan adalah 20,000 bakul makanan setakat ini.

Beliau berharap bantuan ini sedikit sebanyak mengurangkan beban penduduk setempat.
Turut hadir, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Labuk, YB Tuan Samad bin Jambri dan Penolong Pegawai Daerah Beluran, Tuan Leprus Bin Esuvas @ Giswa.

Pada masa yang sama, Kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sebelum ini juga telah membaikpulih 152 rumah nelayan di kawasan Beluran dalam tempoh masa yang singkat dengan mematuhi spesifikasi yang ditetapkan. Manakala, 200 lagi rumah nelayan akan dibaikpulih dibawah Projek Khas Perumahan Nelayan bernilai RM3 juta yang akan dilaksanakan bermula bulan Ogos 2021.

Selain itu, bagi membangunkan infrastruktur Jeti sedia ada, tiga lokasi telah dibaik pulih sebelum ini iaitu di Jeti Kampung Munad II, Jeti Kampung Seri Menanti dan Jeti Kampung Keramat dengan kos sebanyak RM150,000. 18 lagi jeti dan titian di sekitar kampung-kampung nelayan di Beluran sedang dalam perancangan LKIM untuk dibaikpulih, dinaiktaraf serta bina baharu yang akan memberi kemudahan pendaratan ikan yang lebih baik.

“Kerajaan sentiasa peka dengan kebajikan golongan nelayan yang banyak menyumbang kepada pengeluaran makanan negara. Kerajaan juga telah meningkatkan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) daripada kadar RM250 kepada RM300 sebulan yang memberi manfaat kepada 35,000 nelayan manakala Elaun Sara Hidup Nelayan Darat (ESHND) juga telah dinaikkan daripada RM200 kepada RM250 sebulan bermula Januari 2021 yang memanfaatkan 3,400 nelayan darat berdaftar. Kedua-dua elaun ini memberi implikasi kewangan sebanyak RM151 juta setahun kepada Kerajaan,” jelas Dr Ronald.

MAFI akan terus memastikan kebajikan semua golongan sasar termasuk golongan nelayan sentiasa terbela serta memastikan kelangsungan dan kelancaran rantaian bekalan makanan di kala pandemik COVID-19 yang melanda negara ketika ini.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles