Usaha Kerajaan Selaras Dengan PPN Menampakkan Hasil Positif – Ronald

 

BELURAN: Kesemua langkah dan usaha Kerajaan selaras dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN) supaya negara akan dapat beralih ke fasa-fasa seterusnya secara teratur dan berperingkat berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama sedang menampakkan hasil yang positif, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Advertisements

Setakat ini tujuh negeri sudah memenuhi tiga nilai ambang dengan memenuhi semua prasyarat telah beralih ke Fasa 2 PPN termasuk Negeri Sabah yang bermula hari ini.

Manakala, melalui langkah bersasar Kerajaan termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa negeri termasuk Selangor yang mencatatkan bilangan kes harian yang tinggi, diharap dapat dikurangkan.

Malaysia juga telah memenuhi nilai ambang pertama PPN dimana 10 peratus penduduk di negara ini sudah menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19. Malah, kadar pemberian vaksin harian juga berjaya mencatatkan lebih 300,000 suntikan melangkaui sasaran awal dan jumlah pemberian vaksin harian tertinggi juga dicatatkan semalam dengan 376,909 dos vaksin telah diberikan di seluruh negara.

Pada penghujung Ogos, Malaysia dijangka akan mencapai 30 ke 40 peratus populasi negara sudah lengkap menerima vaksin dan imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini sepertimana yang digariskan dibawah PPN akan dapat dicapai.

Menurut Dr Ronald usaha Kerajaan menangani kemelut pandemik COVID-19 perlu dinilai secara holistik dan menyeluruh dengan mengambil kira semua aspek termasuk keselamatan, kesihatan, kebajikan dan ekonomi yang sedang ditangani oleh Kerajaan bersama-sama dengan barisan hadapan dan pihak bertanggungjawab yang lain.

Tambah beliau, Kerajaan serius dalam soal memelihara kebajikan rakyat serta usaha memerangi pandemik COVID-19 biarpun berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Agenda prihatin dan keselamatan rakyat akan menjadi keutamaan Kerajaan dan akan diteruskan. Segala usaha yang dirancang Kerajaan berada di landasan yang tepat dan Kerajaan yakin dengan kerjasama serta sokongan rakyat kita akan dapat melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19 sekaligus keluar secepat mungkin dari pandemik ini.

“Tumpuan utama Kerajaan hanya untuk terus berusaha sedaya upaya mengeluarkan negara secara berfasa dari kemelut pandemik COVID-19 dan memulihkan semula ekonomi negara demi kelangsungan hidup rakyat,” jelas Dr Ronald.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penyerahan kit tanaman lada bara dan halia organik kepada belia Beluran sempena lawatan kerja di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Beluran, hari ini.

Selain berusaha mengurangkan bilangan kes harian COVID-19 melalui pelaksanaan PKP, Kerajaan juga terus memperkasa keupayaan sistem kesihatan awam negara supaya dapat beroperasi dengan berkesan serta meningkatkan kapasiti bagi mempercepat pemberian vaksin kepada rakyat melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

“Selaras dengan peningkatan kadar pemberian vaksin harian, orang ramai mesti terus berdaftar dan menghadirkan diri di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk menerima suntikan vaksin pada tarikh yang telah ditetapkan dan ini adalah tanggungjawab semua rakyat Malaysia dalam membantu negara keluar dari pandemik ini,” kata Dr Ronald

Selain itu, sejak pandemik COVID-19 melanda negara kita, Kerajaan juga telah melaksanakan lapan program bantuan dan pakej rangsangan ekonomi dengan nilai keseluruhan berjumlah RM530 bilion dengan suntikan fiskal sebanyak RM81.8 billion bagi meneruskan agenda membantu rakyat dan menyokong perniagaan biarpun ruangfiskalkerajaan adalahamat terhad. Selain itu, RM322.5 bilion diperuntukkan di bawah Belanjawan 2021.

Dr Ronald menjelaskan pelbagai bantuan-bantuan bersasar di bawah pakej-pakej ini juga telah membantu pengusaha sektor agromakanan yang terkesan terutamanya mereka yang mengusahakan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk kembali pulih dan meneruskan kelangsungan perusahaan masing-masing.

“MAFI akan terus memastikan setiap inisiatif di bawah pakej ekonomi untuk agromakanan sampai kepada golongan sasar dalam memastikan kelangsungan setiap peringkat rantaian makanan supaya rakyat terus mendapat bekalan makanan yang mencukupi dan berkhasiat,” tambah Dr Ronald.

Program Skim Pembiayaan Mikrokredit Agrobank juga sedang giat dilaksanakan. Jumlah keseluruhan skim ini adalah sebanyak RM850 juta yang merangkumi peruntukkan sebanyak RM350 di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan RM500 juta di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH). Usahawan mikro dan komuniti B40 dalam sektor pertanian dan industri makanan yang terjejas akibat daripada pandemik COVID-19 dan PKP digalakkan untuk memohon kemudahan pembiayaan yang disediakan Kerajaan di bawah Agrobank.

Pada masa yang sama, selaras dengan pengumuman YAB Perdana Menteri pada 28 Jun 2021, Agrobank komited untuk membantu pelanggan merancang komitmen pembiayaan mereka menerusi program bantuan pengurusan kewangan, khususnya pelanggan bagi kategori yang berkaitan yang menghadapi kesukaran meneruskan pembayaran semula pembiayaan mereka berikutan penularan wabak COVID-19.

Dalam pada itu, YB Menteri MAFI pada hari ini juga telah menyampaikan kit tanaman cili bara dan halia organik kepada 660 belia dari 30 buah kampung sekitar daerah Beluran dan dilengkapkan dengan kursus asas dan bimbingan.Program ini adalah sebahagian daripada inisiatif Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Sabah melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Beluran, Sabah dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Persekutuan Sabah (FAMA Negeri Sabah) untuk memberi pendedahan kepada kaedah pertanian mudah melalui tanaman cili dan halia sebagai punca pendapatan tambahan sekaligus menggalakkan lebih ramai golongan belia luar bandar untuk menceburi bidang pertanian.

Turut hadir, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Labuk, YB Tuan Samad bin Jambri, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Sabah, Puan Hajah Anita binti Haji Misuari, Pegawai Daerah Beluran Tuan Nordin bin Daling dan Pengurus Besar PPK Beluran Encik Sumarang Chunbung.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles