KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) memuji keputusan yang dibuat oleh Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin untuk meneruskan sokongan parti itu kepada kerajaan GRS.
Presiden STAR Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G Kitingan berkata keputusan Bung mengukuhkan status autonomi Umno Sabah dan menunjukkan bahawa Umno Sabah adalah parti yang mengutamakan rakyat Sabah.
“Kerajaan GRS adalah kerajaan yang dipilih secara demokratik di Sabah. Kami diberi mandat oleh rakyat yang memilih untuk menggulingkan kerajaan pintu belakang tahun lalu.
“Pihak pembangkang telah berusaha berkali-kali untuk mengacaubilau kerajaan ini tetapi kecewa kerana parti-parti yang membentuk GRS terdiri daripada pemimpin-pemimpin yang tahu bahawa kuasa sebenarnya ada di tangan rakyat.
“Oleh demikian, kami akan terus bekerja keras untuk rakyat, menunaikan janji-janji kami yang dibuat semasa kempen pilihan raya dan memajukan Sabah,” katanya.
Kitingan menambah bahawa sebagai sebuah parti, STAR akan terus menyokong kepemimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor dan menggesa anggotanya untuk kekal tenang dan menjalankan tugas seperti biasa.