KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Masyarat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah akan menyalurkan bantuan kepada penghuni mangsa kebakaran Kampung Tanjung Aru Baru bsgi meringankan beban yang mereka hadapi.
Menterinya Ir Shahelmey Yahya berkata pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu sedang melakukan pendaftaran mangsa kebakaran itu bagi memudahkan penyaluran bantuan yang diperlukan dan urusan pengaktifan pusat penempatan sementara.
Bercakap kepada pemberita selepas membuat tinjauan di lokasi kejadian kebakaran itu hari ini, beliau berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu sekitar 7 pagi.
Turut serta dalam lawatan itu ialah Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Noorliza Awang Alip.
Sementara itu, menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Negeri Sabah, beberapa jentera bomba beserta 40 anggota pelbagai pangkat dikejarkan ke tempat selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira 7.08 pagi.
Sekurang-kurangnya 10 rumah, yang didiami sekitar 34 keluarga, musnah kebakaran itu.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.