15,265 Orang Sudah Mendaftar Untuk Program Vaksinasi di Kota Marudu

KOTA MARUDU: Seramai 15,265 orang telah mendaftar untuk program vaksinasi melalui MySejahtera di daerah ini setakat pertengahan bulan Jun.

Advertisements

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata daripada jumlah itu, hanya 6,018 orang telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama manakala 1, 949 telah menerima kedua-dua dos.

Sehubungan itu, beliau berkata kempen vaksinasi nasional yang sedang berlangsung akan diperhebatkan lagi dan kini telah diperluaskan ke kawasan pendalaman Kota Marudu iaitu Mukim Kampung Sungai Magandai yang bermula pada Selasa.

Program anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Jabatan Kesihatan Kota Marudu itu disertai sekumpulan doktor, jururawat dan beberapa wakil dari badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Ongkili yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu berkata seramai 300 orang di sekitar kawasan tersebut telah dikenal pasti untuk menerima vaksin dalam fasa pertama program Outreach Kota Marudu.

Beliau berkata terdapat lebih 700 penduduk dari lapan kampung, di kawasan perbukitan itu, dan dari jumlah tersebut, sekitar 300 orang disasarkan untuk menerima vaksin di mukim tersebut.

Ongkili berkata demikian sempena pelancaran Program Vaksinasi yang berlangsung selama tiga hari itu, iaitu sebahagian daripada Program Outreach Kota Marudu yang sedang dijalankan di daerah itu.

Katanya kempen vaksinasi yang sedang berlangsung itu bertujuan mencegah penularan COVID-19, dan seterusnya dapat menamatkan pandemik tersebut di Malaysia.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles