CAPS Sabah cadang tindakan Akta Hasutan kepada antivaksin

LAHAD DATU: Pertubuhan Hal Ehwal dan Pelindung Pengguna (CAPS) Sabah mencadangkan kerajaan menggunakan Akta Hasutan terhadap penghasut dan antivaksin yang menimbulkan kegusaran kepada orang ramai sehingga takut mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19.

Timbalan Pengerusi CAPS Sabah Datuk A. Nagaraju berkata selain Akta Hasutan mereka yang melakukan kesalahan itu boleh juga didakwa di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan melibatkan kesalahan dengan niat hendak menimbulkan ketakutan atau kegentaran awam.
Tindakan mengenakan hukuman maksimum kepada golongan ini boleh dijadikan pengajaran kepada semua pihak seterusnya membantu menghentikan propaganda negatif tentang vaksin COVID-19.
Lahad Datu ada 266,000 penduduk dan sehingga kini yang mendaftar sebagai penerima vaksin masih rendah tidak sampai 10 peratus, setakat ini juga hanya 6,000 penduduk sudah diberi suntikan vaksin COVID-19,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Nagaraju dalam pada itu turut menggesa agar kerajaan dapat mewartakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di luar bandar bagi melancarkan proses vaksinasi, khusus yang tinggal di Tambisan.
“Proses vaksinasi yang perlahan di sini mungkin disebabkan faktor jarak antara kediaman dan PPV menyebabkan penduduk tidak mahu menerima vaksin,” katanya lagi.
Beliau berkata kerajaan perlu mencari kaedah untuk meningkatkan pendaftaran vaksin sekali gus mempercepatkan proses vaksinasi di Sabah.
Selain itu Nagaraju turut menyarankan kepada kerajaan negeri agar mempertimbangkan pemberian vaksin kepada pemegang dokumen IMM13, Kad Burung-Burung serta Sijil Banci dan kepada yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri misalnya komuniti Pala’u.
“Jangan kecualikan mereka ini kerana COVID-19 ini beri kesan kepada semua, mereka ini juga sudah tentu ada yang ke kedai untuk membeli barang dan aktiviti lain, selain sebenarnya yang saya lihat Pala’u ini berisiko tinggi sebagai agen pemindah COVID-19 kerana aktiviti mengemis mereka bahaya,” katanya lagi.
— BERNAMA

Related Articles

253FansLike

Latest Articles