PENAMPANG: Pesta Kaamatan terus menjadi wadah penting bagi menyemarakkan perpaduan dan kerjasama rakyat pelbagai kaum di Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata dengan adanya perpaduan yang utuh dan kerjasama erat, ia akan membantu mengemudi Sabah ke era kecemerlanhan sejajar dengan aspirasi dan halatuju kerajaan negeri – Sabah Maju Jaya.
Berucap pada majlis pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri di Hongkod Koisaan, KDCA Penampang secara maya hari ini, Ketua Menteri berkata Pesta Kaamatan merupakan satu perayaan utama untuk rakyat Sabah, khususnya masyarakat KDMR (Kadazandusun Murut Rungus).
Oleh itu, katanya, rakyat seharusnya menjadikan Kaamatan yang membawa mesej perdamaian sebagai tonggak perpaduan untuk Sabah yang sentiasa menjadi model atau contoh keharmonian kaum di Malaysia.
Hajiji berkata tema Pesta Kaamatan yang dipilih tahun ini – Kaamatan Memupuk Perdamaian Tanpa Sempadan adalah tepat kerana ia benar-benar menggambarkan keadaan sekarang.
Katanya pergerakan rakyat antara negeri dan daerah adalah terhad dalam usaha untuk membendung penularan Covid-19.
Beliau berkata pandemik itu juga telah merubah Pesta Kaamatan dirayakan yang menyaksikan acara seperti Sugandoi (nyanyian) dan Unduk Ngadau (Ratu Cantik) diadakan secara maya tahun ini.
Hajiji berkata walaupun pesta itu dirayakan pada scala kecil namun kemeriahannya masih tetap dirasakan.
Beliau dimaklumkqn siaran langsung program Kaamatan menerusi media sosial mendapat reaksi yang amat menggalakkan.
Hajiji menyeru rakyat supaya sentiasa mematuhi SOP bagi menangani penularan Covid-19 di negeri ini.