Salleh Optimis Vaksinasi Jalan Penyelesaian Terbaik Kekang Pandemik Covid-19

368
Salleh Keruak
Salleh Said Keruak
KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak optimis vaksinasi merupakan jalan penyelesaian terbaik dan berkesan bagi membendung penularan Covid-19.
Beliau berkata pendapat itu selari dengan saranan Pakar Kesihatan Awam yang percaya bahawa “vaksin adalah satu-satunya pilihan yang kita ada bagi mengekang penularan pandemik ini”.
Sambil memberi contoh kejayaan di banyak negara maju, Salleh berkata suntikan vaksin ternyata mampu menurunkan angka kes lebih cepat.
“Misalnya, di United Kingdom (UK), dari 36 juta orang penduduk- sebanyak 68% populasi penduduk telah menerima dos pertama mereka dan 19 juta orang telah lengkap menerima dua dos.
“Program imunisasi mereka amat dikagumi kerana mampu memvaksin seramai seratus ribu orang dalam masa sehari. Ini kerana mereka tidak hanya tertumpu pada hospital sebaliknya diperluaskan lagi ke pusat keagamaan seperti gereja, pusat rekreasi dan kawasan pendalaman,” katanya dalam hantaran terbaharu diblognya.
Salleh yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata kejayaan membentuk imuniti berkelompok turut mempengaruhi keputusan UK kembali membuka pelbagai sektor untuk orang awam termasuk membenarkan 21,000 orang menghadiri perlawanan akhir Piala FA di Stadium Wembley pada 15 mei lalu.
“Justeru, kejayaan UK ini wajar dijadikan contoh dan aspirasi bagi pihak kerajaan untuk memperbaiki kelemahan sistem imunisasi kita.
“Mulakan dengan menambah baik sistem agihan vaksin dan memastikan sistem pendaftaran bagi pengambilan vaksin kemas dan lancar,” katanya.
Salleh yang juga Adun Usukan mengesyorkan
agar program vaksinasi di negara ini dipercepatkan.
Katanya ini kerana setakat ini, kira-kira 1.2 juta orang sahaja yang telah divaksin berbanding 32 juta orang populasi penduduk Malaysia.
“Jika tidak, mustahil untuk kita mencapai 80% penduduk divaksin sebelum akhir tahun ini,” kata beliau.
Beliau difahamkan program itu bergerak perlahan antaranya disebabkan bekalan vaksin yang tidak mencukupi diterima oleh Malaysia kesan dari monopoli oleh kuasa-kuasa besar.
“Bagaimanapun, kerajaan telah memberi jaminan yang masalah bekalan vaksin ini dapat dipulihkan menjelang Jun ini dan vaksinasi akan dijalankan secara besar- besar selepas itu.
“Saya percaya kerajaan telah melakukan yang terbaik bagi program vaksinasi ini dan akan memperbaiki segala kelemahan yang ada secepatnya,” katanya.
Salleh menyeru agar rakyat sama-sama menyokong usaha kerajaan mengekang pandemik covid-19, sekali gus membebaskan negara ini daripada ancaman Covid-19.