221 orang hilang tempat tinggal dalam kebakaran 35 rumah di Meruntum

KOTA KINABALU: Seramai 221 orang daripada 45 keluarga hilang tempat tinggal apabila 35 rumah atas air di Meruntum, Putatan musnah dalam kebakaran, petang semalam.

Advertisements

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Putatan menerusi kenyataan memberitahu 62 mangsa telah ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Program Perumahan Rakyat (PPR) Serigai, manakala sebuah lagi PPS di Dewan Keramat masih belum menerima sebarang mangsa.

Kenyataan itu juga memaklumkan sebanyak 42 keluarga yang terlibat adalah warganegara Malaysia, manakala tiga lagi bukan warganegara.

Lapan agensi serta 63 anggota terlibat dalam operasi memadam dan membantu mangsa antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah.

Kejadian yang dipercayai bermula pada 5.30 petang itu berjaya dikawal pada 8.01 malam, namun tiga anggota JBPM Sabah dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I dan Hospital Queen Elizabeth II akibat terkena renjatan elektrik ketika memadam kebakaran itu.

Sementara itu, jurucakap JBPM Sabah ketika dihubungi pemberita memberitahu anggotanya yang cedera itu telah dirawat dan berada dalam keadaan baik, sebelum dibenarkan pulang malam tadi.
— BERNAMA

Related Articles

253FansLike

Latest Articles