Segerakan Vaksinasi Kunci Kemenangan ke atas Pandemik Covid -19 — Salleh

KOTA KINABALU: Proses vaksinasi perlu disegerakan kerana ia merupakan kunci kemenangan ke atas Covid-19, kata bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Advertisements

Beliau berkata walaupun kadar kes Covid-19 di Sabah agak terkawal, namun kerajaan perlu memperhebatkan usaha vaksinasi ke seluruh Sabah.

“Perangi Covid-19 dengan pengambilan vaksin, bukan sekadar dengan hanya mematuhi SOP.

“Perkara yang membimbangkan apabila pendaftaran dan vaksinasi rakyat Sabah amat rendah iaitu hanya 16.6% berdaftar dan 3.2% yang sudah divaksin.

Kadar vaksinasi negara juga umumnya rendah sekitar 3.6% jika dibandingkan dengan negara-negara lain di rantau Asia Tenggara,” katanya dalam hantaran terbaharu diblognya.

Salleh berkata Malaysia kini melaksanakan PKP 3.0, namun kadar kes harian Sabah masih stabil di bawah 100 kes.

Beliau berkata Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) merupakan satu program yang baik, namun perlaksanaannya perlu diperbaiki.

“Ramai rakyat masih belum sedar dan berdaftar. Kalau di Sabah, rakyat luar bandar lebih faham kepentingan SOP daripada vaksinasi.

“Selain itu, masih ada keraguan berterusan di kalangan rakyat mengenai vaksin pilihan dan kesan sampingan vaksin. Ada yang layak mendaftar tetapi enggan mendaftar. Ada yang sudah awal mendaftar vaksin, tapi masih menunggu temujanji,” katanya.

Salleh yang juga Adun Usukan berkata kerajaan perlukan strategi baru bagi memastikan PICK disegerakan dengan lebih berkesan.

“Saya syorkan beberapa cadangan. Pertama, perhebatkan lagi kerjasama dengan pelbagai pihak untuk bantu pendaftaran rakyat luar bandar Sabah dalam PICK.

“Kedua, percepatkan persediaan bekalan vaksin secukupnya untuk rakyat Sabah. Ketiga, perbanyakkan lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk Sabah mengikut kesesuaian lokaliti, terutamanya di luar bandar,” kata beliau.

Salleh turut menekankan betapa pentingnya
vaksinasi bagi merancakkan ekonomi Sabah, sekali gus memberi keyakinan kepada pelabur.

“Ia juga akan menjadikan rakyat Sabah sebagai pemain ekonomi yang proaktif. Bank Negara juga sudah meramalkan kadar ekonomi Malaysia kembali positif tahun ini, jika program vaksinasi kita bergerak seperti yang dirancang,” katanya.

Sambil mengambil contoh kecepatan pemulihan ekonomi negara jiran — Indonesia (4.99%) dan Singapura (31.67%) sebagai perbandingan, Salleh berkata vaksinasi ternyata membantu Kerajaan mengawal Covid-19 dengan lebih cekap dan membolehkan tumpuan diberikan kepada pemulihan ekonomi.

Oleh itu, beliau menyeru rakyat supaya berganding bahu dan memberikan kerjasama kepada PICK dan khususnya Program Vaksinasi untuk Sabah.

“Kita bersetuju untuk patuhi SOP tetapi usaha mempercepatkan program vaksin untuk rakyat perlu diperkasakan bagi kepentingan bersama,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles