KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan mengeluarkan senarai Prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang terpakai di negeri ini esok, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata pengumuman SOP itu perlu selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP yang akan dilaksanakan mulai 12 Mei (Rabu) hingga 7 Jun ini.
“Dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) tengah hari Isnin saya telah memohon kepada Perdana Menteri agar Sabah meneruskan pengurusan Covid seperti kaedah yang kita amalkan sekarang kerana ia terbukti berkesan.
“Permohonan saya telah dipersetujui oleh Perdana Menteri dan MKN. Sehingga ada arahan baharu saya andaikan Sabah masih berstatuskan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya dalam perkongsian media sosial pada malam Isnin.
Bagaimanapun Masidi berkata, beliau bersetuju dengan langkah-langkah memperketatkan larangan dan kawalan kepada aktiviti sosial.
“Langkah-langkah khusus yang sedang dilaksanakan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan diteruskan,” katanya.