SANDAKAN: Pengusaha teksi kini mempunyai pilihan jenis kenderaan yang lebih meluas setelah Kerajaan bersetuju kenderaan yang dijadikan teksi tidak lagi terikat dengan keperluan 1500cc.
Ekoran keputusan berkenaan , kenderaan yang akan dijadikan teksi cuma wajib mempunyai penarafan keselamatan 3 bintang ASEAN NCAP, kata pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah Dato’ Chin Kim Hiung semasa perjumpaan bersama pengusaha-pengusaha teksi di sini baru-baru ini.
Chin berkata para pengusaha teksi kini boleh memilih kenderaan-kenderaan yang mempunyai penarafan demikian seperti Proton Saga FLX, Perodua Bezza, Perodua Alza atau Toyota Vios dijadikan teksi mereka.
Namun kenderaan jenis kompak/mini seperti Perodua Axia, Perodu Myvi, atau Proton Iriz masih tidak dibenarkan oleh LPKP Sabah buat masa ini. Ini setelah mengambil kira bahawa terdapat penumpang yang perlu ruang bagi meletakkan bagasi dengan selesa, tambah Chin.
Perkara ini diharapkan dapat meringankan beban para pengusaha teksi yang berhasrat untuk mengganti teksi, kata beliau.
Bagi membantu usaha Kerajaan dalam memerangi wabak COVID-19, Chin menyaran agar pengusaha teksi mendaftar serta memaparkan kod QR MySejahtera dalam kenderaan masing-masing.
Pengusaha teksi juga perlu memastikan penumpang mengimbas kod QR tersebut sebelum memulakan perjalanan, memastikan pemandu dan penumpang memakai pelitup muka, menyedia dan menggunakan cecair pensanitasi tangan, kata Chin.