KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada 20,269 penjawat awam negeri Gred 54 dan ke bawah termasuk mereka yang bertugas di Pihak Berkuasa Berkanun Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri serta RM250 kepada pesara kerajaan negeri.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, dalam satu kenyataan, berkata pemberian itu adalah bagi menghargai khidmat bakti dan pengorbanan semua penjawat awam negeri melaksanakan tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutama semasa menghadapi pandemik COVID-19 di negeri Sabah.
Beliau berkata pembayaran bagi Bantuan Khas itu akan dibuat bersama dengan pembayaran gaji bulan Mei iaitu pada 7 Mei 2021.
Hajiji berkata pemberian bantuan khas itu adalah selaras dengan pengumuman kerajaan Persekutuan berhubung perkara itu pada 22 April lepas.
Katanya kerajaan negeri menyambut baik keputusan bayaran Bantuan Khas Kewangan bersempenan Hari Raya Aidilfitri 2021 yang dibuat melalui Kenyataan Media Pejabat Perdana Menteri.