LAHAD DATU: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim telah mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Daerah Lahad Datu, pada Sabtu.
Ketibaan Jahid disambut oleh Pegawai Daerah Lahad Datu, Juraimin Hj Jadil.
Hadir bersama ialah Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan), Mahasitah Hj Amin, Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran), Penolong Pegawai Daerah, Daerah Kecil Tungku, Jaslee Jaafar, Fairuz Udzualdeen @ Benetty B. Mohd Dzul, para kakitangan pejabat dan ketua-ketua jabatan daerah Lahad Datu.
Sepanjang program lawatan itu, Jahid diberi taklimat mengenai profail daerah Lahad Datu oleh Juraimin, dan juga taklimat mengenai Tungku yang disampaikan oleh Fairuz.
Dalam ucapannya, Jahid berpuas hati kerana sepanjang lawatannya ke Pejabat Daerah di kawasan Pantai Timur, semua maklumat daerah yang diberi mereka sangat kemaskini.
“Jadi, gunakanlah apa sahaja kecanggihan teknologi dan kemudahan ICT sebaik mungkin dalam sistem pentadbiran daerah masing-masing, agar maklumat dapat disampaikan kepada rakyat dengan lebih cepat,” katanya.
Beliau turut berpesan kepada para pemimpin di kedua-dua kawasan untuk menyampaikan kepada penduduk di daerah masing-masing agar menyokong kempen Vaksinasi Covid-19.
“Pesan kepada mereka supaya jangan takut untuk menerima vaksin ini untuk melindungi diri dan melindungi semua,” katanya.
Terdahulu, Juraimin berharap kehadiran Jahid ke pejabat berkenaan akan membawa satu rahmat kepada mereka menjelang bulan Ramadhan yang akan tiba tidak lama lagi.
Untuk rekod, Lahad Datu merupakan sebuah daerah dan bandar yang terletak di Bahagian Tawau di Pantai Timur, Sabah, Malaysia, berkeluasan 7444km persegi dengan penduduk sejumlah lebih kurang 259,200 orang.