LAHAD DATU: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, mengadakan lawatan rasmi ke Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), dekat sini pada Jumaat.
Kehadiran beliau disambut mesra Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Bin Othman bersama pegawai tertinggi ESSCOM.
Sepanjang lawatannya, Jahid diberi taklimat khas mengenai tugasan ESSCOM, yang telah disampaikan oleh Asisten Ketua Staf Pusat Operasi ESSCOM, Kolonel Rosli Bahrun.
Antara pegawai yang hadir pada sesi taklimat tersebut ialah Timbalan Komander ESSCOM, Briged Jen. Adnan Bin Abu Hassan, SAC Mohd Ali Bin Tamby, SAC Chandrasehkaran a/l Mutthu, SAC Mat Zaki Md Zqin, dan SAC Ros Azhan Bin Nik Hamid.
Dalam ucapan ringkasnya, Jahid berkata, bagi pihak kerajaan negeri, Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS) amat menghargai sumbangan Esscom dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
“Tanpa pengorbanan dan kesetiaan pasukan keselamatan, sudah tentu negara tidak dapat menikmati keamanan dan kesejahteraan,” katanya.
Justeru, katanya, kerjasama dan bantuan daripada semua pihak adalah amat penting bagi merealisasikan keamanan dan kesejahteraan di negara ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli, berkata, kerajaan dan pasukan keselamatan akan sentiasa berganding bahu menjaga keamanan dan kesejahteraan negara serta mempertahankannya daripada sebarang ancaman.
Hadir sama para Pegawai KPLBS termasuk Ketua Penolong Setiausaha (Komunikasi Dan Teknologi Maklumat), dan Ketua Penolong Setiausaha (Khidmat Awam), Jean Shat serta beberapa kakitangan pejabat KPLBS dan kakitangan Pejabat Menteri.