Krisis Pengangguran Pasca Covid-19 Perlu Ditangani Secara Serius – Salleh

KOTA KINABALU: Krisis pengangguran pasca Covid-19 perlu ditangani secara serius kerana rakyat dilihat semakin tertekan berikutan peluang kerja semakin terhad dan kerugian pendapatan akibat pandemik itu, kata bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Advertisements

Beliau berkata selain itu, terdapat juga golongan yang terjejas akibat dibebani hutang seperti utiliti, pinjaman pendidikan, kereta, rumah dan pelbagai lagi komitmen lain.

Katanya menurut perangkaan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), angka pengangguran di Malaysia meningkat kepada 772,900 orang pada kadar 4.8 peratus pada Disember 2020.

“Ini memperlihatkan industri berkaitan pelancongan seperti penginapan dan perkhidmatan makanan; pengangkutan & penyimpanan; dan kesenian, hiburan & rekreasi terus merosot yang mencerminkan kesan pandemik kepada industri berkenaan,” katanya dalam catatan terbaharu diblognya.

Katanya berdasarkan anggaran Bank Negara Malaysia (BNM), kadar upah sara hidup di Kuala Lumpuri iaitu taraf hidup minimum boleh diterima untuk seorang individu dewasa ialah RM2,700 sebulan.

“Ini belum lagi diambil kira mereka yang berpendapatan di bawah kadar upah sara hidup minimum seperti golongan berkemahiran rendah dan sederhana,” katanya.

Dalam hal ini, Salleh berkata kerajaan dilihat telah mengambil langkah yang tepat dalam menangani pengangguran dengan peruntukan RM9 bilion dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Bagaimanapun, katanya terdapat beberapa dasar lain yang dilihat mampu untuk menangani isu pengangguran terutama golongan yang terjejas teruk seperti belia.

Menurut Salleh, langkah pertama yang perlu diberi perhatian ialah pemantapan sistem pendidikan-ke-pekerjaan (E2E).

“Pembelajaran atau subjek relevan bagi bidang/sektor yang ingin diceburi diajar di samping pemberian insentif pengambilan pelatih kepada syarikat sektor swasta bagi mempersiapkan mereka.

“Sebagai contoh, seperti Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), kajian menunjukkan akses latihan vokasional lebih tinggi berkait rapat dengan kadar pengangguran lebih rendah,” katanya.

Beliau berkata institusi tersebut perlu diperkasakan bagi melahirkan lebih ramai graduan berkemahiran tinggi, dan program itu perlu dipromosi kepada individu berbakat terutamanya luar bandar.

“Selain itu, Kursus dalam talian oleh agensi berkaitan juga mampu membantu meningkatkan kemahiran dan menyusun semula bakat tempatan menjadi belia berkemahiran digital,” katanya.

Salleh turut menyarankan agar jaring keselamatan sosial komprehensif perlu diwujudkan melalui inisiatif kerajaan dalam pemberian insentif pengambilan pekerja, program perantis dan latihan.

“Diharapkan, hasilnya akan menjadi positif seperti di Eropah kerana skim belia terbabit berjaya membantu lebih 3.5 juta orang muda dalam mendapatkan tawaran kerja, latihan atau perantis,” kata beliau.

Beliau turut mengesyorkan kepada kerajaan agar menimbang kemungkinan untuk melanjutkan atau memperluaskan bantuan-bantuan yang pernah diberikan kepada rakyat sebelum ini termasuk Bantuan Prihatin Nasional  (BPN) yang mungkin boleh ditambah baik.

.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles