Hajiji berada di landasan terbaik bawa Sabah ke era kecemerlangan

Oleh: Profesor Dr. Rasid Hj. Mail (Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Universiti Malaysia Sabah)

Advertisements

Di bawah slogan Sabah Maju Jaya (SMJ), jentera pentadbiran Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor telah menyediakan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2021-2025. Walaupun belum dimasyhurkan secara rasmi, rakyat Sabah telah mula memperkatakannya. Sebagai rancangan yang mengangkat kepentingan pembangunan negeri Sabah melalui usaha pemulihan ekonomi yang terjejas disebabkan pandemik Covid-19, ia dilihat sebagai sinar harapan untuk memperbaiki kualiti hidup masyarakat di negeri ini.  

Walaupun kerajaan baharu di bawah pimpinan Ketua Menteri menghadapi cabaran getir dengan isu pandemik Covid-19 dan masalah banjir, isu pemulihan ekonomi dan kualiti hidup masyarakat telah mendapat perhatian khusus. Keprihatinan terhadap masyarakat luar bandar, kelompok yang paling terkesan dalam kelembapan ekonomi dalam dan luar negara merupakan jalur yang sangat dihargai dalam warna-warni cabaran pemerintahan kerajaan baharu ini.

Dari sudut ekonomi, langkah strategik memfokuskan kepada aktiviti pertanian dilihat sebagai keputusan bijak memilih sektor yang produktif. Bukan sahaja ia akan menghasilkan bahan keperluan penduduk tetapi menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk yang ramai kehilangan punca pendapatan disebabkan pandemik Covid19. Dari sudut persaingan bandingan, sektor pertanian merupakan kelebihan dan kekuatan negeri Sabah yang sekian lama tidak dioptimumkan sepenuhnya. 
Keluasan kawasan, kesuburan tanah, polisi dan dasar kerajaan, sistem sokongan, demografi masyarakat agraria, ekosistem pasaran dan lain-lain merupakan anugerah dan potensi yang masih belum diteroka sepenuhnya.

Berdasarkan elemen ini, hasrat SMJ mengangkat tema pertanian dalam agenda membangun negeri Sabah perlu mendapat perhatian dan komitmen dari sektor kerajaan, sektor swasta dan sektor ketiga.

Bagi maksud tersebut, agenda mewujudkan ekosistem yang kondusif perlu mendapat perhatian khusus. Di UMS umpamanya, usaha memperkasa penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan mengeluarkan tenaga mahir, terlatih dan berkelayakan sedang dipergiat. Salah satu daripadanya ialah penawaran program pengajian Asasi Pertanian kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), khususnya dalam kalangan calon luar bandar dan B40 di negeri ini. 

Program ini terbuka kepada lulusan SPM aliran sains dan sastera untuk mengikuti program selama dua tahun sebelum memasuki program pengijazahan Sarjana Muda Sains Pertanian. Matlamat utama adalah untuk mendapatkan dan menghasilkan calon pelajar yang betul-betul berminat dalam bidang pertanian, menghayati kepentingan dan potensi pertanian sebagai perniagaan. Bukan hanya untuk mengikis stigma kurang popular mengenai status sosial graduan dan pekerjaan sektor pertanian, tetapi juga melahirkan graduan yang lengkap dengan pengetahuan dan penguasaan teknologi yang perlu untuk perladangan, pertanian persis (precision farming) dan pengurusan moden. 

Pada masa ini terdapat 27 pelajar kelompok pertama Asasi Pertanian yang menjadi pelopor langkah strategik ini. Mereka akan melalui program pengajian unik selama dua tahun yang digubal atas nasihat dan input industri, termasuk penempatan secara sepenuh masa selama enam bulan di ladang pertanian dan penternakan. Program ini sesungguhnya merupakan sumbangan UMS kepada agenda memperkasa sektor pertanian sebagai platform SMJ.

Kehadiran dan penyertaan pelabur institusi dan individu dalam agenda SMJ juga merupakan pemboleh ubah yang mendapat perhatian istimewa. Bagi rakyat negeri Sabah, semasa kemelut pandemik Covid-19, pengalaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kebimbangan mengenai kelestarian bekalan makanan serta isu lambakan hasil pertanian adalah pengajaran yang sangat berguna. Justeru, kecenderungan pelabur untuk menyertai sektor yang lebih selamat dan lestari seperti pertanian dan perladangan merupakan peluang yang telah dimanfaatkan kerajaan negeri Sabah. 

Berbanding dengan sektor lain seperti pembuatan dan pelancongan, ternyata sektor pertanian lebih mandiri dalam keadaan pemulihan ekonomi dan ketidaktentuan pada hari ini. Hatta, dalam situasi pandemik, darurat dan isu keselamatan, sektor pertanian ternyata lebih lestari kepada rantaian nilai pengeluar, pembekal, peruncit dan pengguna serta pengurusan keselamatan makanan oleh pihak pemerintah. Hari ini, ramai yang mula menyedari status fundamental dan nilai sentimental sektor pertanian.

Oleh hal yang demikian, cakna kerajaan negeri kepada keperluan ekosistem yang mesra pelabur merupakan kunci kejayaan SMJ. Sikap terbuka, telus dan prihatin kerajaan negeri telah membuka ruang dan kesanggupan para pelabur untuk bersama menyumbang kepada agenda SMJ. Diharapkan jentera kerajaan yang ada dari pelbagai agensi negeri dan pusat dapat menjiwai dan mendokong hasrat SMJ ini dengan memudah cara urusan para pelabur.

Manakala di pihak rakyat sendiri, seharusnya keperitan dan dugaan getir sepanjang PKP dapat menyuntik semangat untuk lebih bersedia menyerap perubahan. Kekuatan utama kerajaan negeri dan teras agenda SMJ adalah rakyat sendiri. Sudah sampai masanya golongan petani memanfaatkan kemudahan dan bantuan pelbagai agensi dengan bersungguh-sungguh. 

Kebergantungan total kepada subsidi dan insentif mungkin perlu dikurangkan secara beransur-ansur. Kemampuan kerajaan untuk membiayai sektor sosial sudah tentu akan berkurang secara mutlak mahupun secara relatif. Apatah lagi dengan perubahan persekitaran dan ketidaktentuan yang semakin sukar diramal. Sudah tentu kapasiti pembiayaan kerajaan terpaksa diagih-agihkan di antara sektor yang kritikal seperti sektor kesihatan, pertahanan dan pendidikan.

Golongan belia selaku golongan paling ramai dan paling produktif dalam kalangan penduduk negeri ini sepatutnya sudah mula mengorak langkah, seiring dengan aspirasi pelaksanaan SMJ. Mereka perlu memahami dan menghayati aspirasi kepimpinan baharu melalui wadah SMJ. Apa yang sedang diusahakan kerajaan sesungguhnya demi kelangsungan masa hadapan golongan muda. Pengajaran dan pengalaman meladeni PKP sudah cukup untuk golongan muda ini menyedari perlunya transformasi minda dan kesedaran kendiri. 

Kesungguhan usaha transformasi kerajaan melalui SMJ sesungguhnya tertumpu kepada penyediaan pelantar untuk golongan muda ini mencorakkan masa hadapan mereka membangunkan negeri Sabah bagi meneruskan perjuangan pemimpin yang akan meninggalkan legasi.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles