Oleh: Jaafar Abdul Wahid
KOTA KINABALU: Umno Sabah meletakkan sasaran untuk bertanding sekurang-kurang 14 kerusi Parlimen pada Pilihanraya Umum Ke 15 akan datang.
Ketuanya Dato Sri Bung Moktar Radin berkata mengikut rekod pada PRU ke-14 lepas, Umno bertanding di 14 kerusi Parlimen.
Kerusi Parlimen terbabit ialah Kudat, Kota Belud,Sepanggar, Papar, Kimanis,Beaufort, Sipitang,Tenom,Beluran,Libaran,KinabatanganSilam,Semporna dan Kalabakan.
Menurut beliau sasaran itu berpandukan kepada kajian parti melalui Jabatan Urusan Pilihanraya (JUARA) Umno Sabah yang mana Sekretrariat Penyelidikannya dipengerusikan ol Ir.Shahelmey Yahya.
Katanya Shahelmey bersama jawatankuasa akan membuat penyelidikan tentang kekuatan sokongan rakyat kepada Umno bagi kerusi yang dituntut.
“Penyelidikan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat dan hasil daripada rumusan laporan itu nanti kita akan muktamadkan keputusan kerusi Parlimen mana yang bakal ditandingi oleh Umno,” katanya.
Bung berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat JUARA Umno Sabah di bangunan Umno semalam.
Hadir sama Timbalan Ketua Umno Sabah Datuk Yakub Khan, Pengerusi JUARA Umno Sabah yang juga Setiausaha Umno Sabah Datuk Jafry Arifin dan Pengarah Pilihanraya PRU ke-15 Datuk Sri Salleh Tun Said.
Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata dalam soal agihan calon-calon yang bakal bertanding pada PRU ke 15 akan datang, perundingan awal bersama BN dan GRS perlu dilakukan secara telus berdasarkan kepada kekuatan parti masing-masing dan ianya perlu diputuskan lebih awal dan bukan menunggu saat saat akhir menghadapi PRU ke-15.
“Dalam PRU-15 kita nak menang untuk tubuhkan kerajaan bukan kerusi untuk bermegah, mesti diteliti setiap kerusi,geopolitik kehendak pengundi dan lokaliti,” katanya.
Terdahulu, Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri turut mengadakan perjumpaan bersama menteri dan pembantu menteri yang diwakili Umno dan selepas itu turut mengadakan mesyuarat perhubungan Umno Sabah.
Semasa perjumpaan bersama Menteri dan Pembantu Menteri dari Umno, Bung turut mengingatkan mereka agar lebih proaktif turun padang menangani masalah rakyat terutama pandemik covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang menyaksikan ramai penduduk luar bandar terjejas dan memerlukan bantuan.
“Saya harap semua wakil rakyat Umno mengekalkan memontum untuk terus bekerja dan bersama rakyat sejak diangkat menjadi wakil rakyat bukannya berkerja ketika dekat pilihanraya,” katanya.
Bung yang juga wakil Rakyat kawasan Lamag ketika mempengerusikan mesyuarat perhubungan Umno Sabah memaklumkan bahawa sambutan 30 tahun Umno melebarkan sayapnya ke Sabah akan diadakan pada 20 Febuari ini dengan perhimpunan secara sederhana di Bangunan Umno Sabah dan mematuhi SOP yang ditetapkan.