KOTA KINABALU : Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Madius Tangau menyuarakan cadangan supaya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkenalkan inisiatif bantuan yuran pengajian percuma khusus untuk anak Sabah yang melanjutkan pengajian melalui sistem UPU di institusi pendidikan tinggi awam di Sabah.
Cadangan itu dibangkitkan menerusi soalan bertulis pada Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
“Sabah masih berhadapan cabaran jurang pembangunan, kadar kemiskinan yang tinggi serta kekurangan tenaga profesional tempatan dalam pelbagai sektor strategik, jadi kerajaan perlu ambil langkah khusus untuk anak-anak Sabah,” katanya.
Menjawab soalan tersebut, KPT memaklumkan kerajaan sentiasa komited memastikan akses kepada pendidikan tinggi dapat dinikmati oleh semua rakyat yang berkelayakan tanpa mengira latar belakang sosioekonomi atau lokasi.
Kementerian turut menjelaskan pendekatan penyediaan bantuan pendidikan tinggi kini berasaskan keperluan sosioekonomi dan kumpulan sasar bagi memastikan bantuan disalurkan secara adil, inklusif dan mampan.
“Sebagai langkah awal, melalui Belanjawan 2026 kerajaan telah memperkenalkan inisiatif pembiayaan pendidikan tanpa bayaran balik yang disasarkan kepada lebih 10,000 pelajar daripada keluarga miskin tegar melalui Biasiswa Anak eKasih PTPTN (Baek PTPTN).
“Usaha memperkukuh akses pendidikan tinggi akan terus dilaksanakan selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035,” tambah KPT.
Dalam pada itu, Madius yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri N.14 Tamparuli dalam satu kenyataan di sini hari ini menyambut baik penjelasan kementerian tersebut, namun berharap agar KPT mempertimbangkan keperluan pengajian percuma khusus untuk anak-anak Sabah.
“Daripada 10 daerah termiskin di Malaysia, lapan daripadanya terletak di Sabah. Fakta ini sepatutnya cukup menjadi asas kukuh untuk kerajaan memberi keutamaan khusus kepada anak Sabah dalam soal akses pendidikan tinggi.
“Dan ini masih belum mengambil kira tentang hak 40 peratus hasil bersih yang dikutip Kerajaan Persekutuan dari Sabah seperti yang termaktub dalam Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Ke-10 Perlembagaan Persekutuan yang masih belum dibayar sehingga kini.
“Oleh itu adalah wajar kerajaan pusat boleh memberikan pendidikan percuma kepada anak-anak Sabah yang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi dalam Sabah sendiri, sebagai salah satu bentuk keadilan kepada rakyat negeri ini,” kata Madius.
