Sambutan Tahun Baru Cina Wadah Kukuhkan Perpaduan Kaum – Salleh

429
Salleh Said Keruak
Salleh Said Keruak

KOTA KINABALU: Rakyat Malaysia perlu menggunakan sambutan Tahun Baharu Cina sebagai wadah untuk mengukuhkan lagi perpaduan dan mengeratkan silaturrahim, sekaligus memastikan rakyat negara ini sentiasa hidup aman, damai dan harmoni, kata Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Dalam perutusan sempena Tahun Baru Cina 2021, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan itu mahu rakyat mengekalkan perpaduan dan keharmonian yang sudah lama dikecapi.

“Sebagai rakyat Sabah yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, kita seharusnya berbangga kerana kita masih menjadi modal terbaik dalam perpaduan kaum. 

“Saya berharap keharmonian ini berterusan dan tidak ada pihak luar yang cuba menggunakan perbezaan etnik sebagai jalan untuk memecah-belahkan masyarakat kita,” katanya.

Salleh berkata perbezaan pendapat dan pendangan tidak seharusnya menjadi penghalang untuk rakyat pelbagai kaum terus bersatu padu.

Beliau berkata sambutan Tahun Baru Cina amat bermakna untuk para sahabat yang berbangsa Cina kerana ia merupakan peluang emas untuk mengeratkan silaturahim sesama kawan dan keluarga. 

“Saya beruntung kerana pernah merasai sendiri kemeriahan dan kegembiraan sambutan Tahun Baru Cina pada masa lalu.

“Oleh itu saya turut terasa apabila sambutan Tahun Baru Cina kali ini agak berbeza, kerana kita harus meraikannya dalam era norma baharu susulan pandemik COVID-19. 

“Namun demikian, kita masih boleh merayakan sambutan Tahun Baru Cina dengan kegembiraan, keriangan dan kebahagiaan,” katanya.

Salleh yakin rakyat dapat menggunakan pelbagai platform teknologi terkini untuk mendekatkan rakyat melalui perhubungan seperti panggilan video secara FaceTime, Google Meet atau Zoom, aplikasi mesej seperti Whatsapp, Telegram, Signal dan Facebook Messenger, dan berhibur bersama melalui laman media sosial seperti Facebook, Instagram, dan Twitter. 

Sempena Sambutan Tahun Baru Cina tahun ini, Salleh dan seisi keluarga mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada Masyarakat Cina khususnya yang berada di kawasan Usukan Kota Belud.